BUKIT TAMBUN – Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang perlu mengadakan ‘post-mortem’ Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) terutama berhubung isu lencongan ‘Undi18’ dan pengundi muda serta pengundi kali pertama kepada Perikatan Nasional (PN) sebelum menempuhi musim Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Makan Malam dan Penghargaan Para Petugas PRU15 Peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bukit Tambun di sini pada 8 Disember 2022.
“Sebelum keputusan PRU15, kita (PH Pulau Pinang) mungkin rasa selesa sebab ramai kata ‘Pulau Pinang tidak ada masalah, balik tidur pun boleh menang (pilihan saya)’, tetapi pandangan sedemikian telah menimbulkan tanda-tanda kecemasan sekiranya kita anggap begitu.
“Sebab, perubahan dan kecenderungan pengundi-pengundi khususnya pengundi kali pertama, pengundi muda yang kita tidak dapat jangka pemikiran mereka dari segi politik, mungkin mereka mudah menolak Barisan Nasional (BN) dan Umno, tetapi undi itu yang kita rasa akan pergi kepada PH sebenarnya diberikan kepada Perikatan Nasional (PN).
“Selepas kempen (PRU15), kita (PH) boleh nampak kelebihan dan kelemahan, seperti YB Goh Choon Aik (Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Bukit Tambun) kata, kita (PH) perlu melakukan ‘post-mortem’.
“Suasana politik telah berubah, memerlukan kita mengubah strategi kempen kita juga,” jelasnya yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang merangkap Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Negeri pada majlis berkaitan.
Sebelum itu, Choon Aik dalam ucapannya juga meminta pemimpin PH Pulau Pinang mengenal pasti sebab musabab ‘Undi18’ dan pengundi baharu serta pengundi kali pertama di Pulau Pinang dalam PRU15 baru-baru ini yang melencong ke gabungan parti politik PN.
“Dalam tempoh kurang enam bulan ini, kita perlu membuat ‘post-moterm’ di PDM-PDM (pusat daerah mengundi) yang kita kalah atau kurang majoriti undi (di saluran tertentu sekitar kawasan Parlimen Batu Kawan), berbanding pilihan raya umum lepas (9 Mei 2018).
“Kita (PH) mengalami kekalahan di saluran lima dan enam (yang melibatkan pengundi baru kali pertama dan Undi18).
“Kita perlu membuat post-moterm untuk melihat (kecenderungan sokongan) ‘Undi 18’ dan mereka yang berusia 30 tahun ke bawah terutama golongan Melayu (boleh melencong sokongan kepada PN),” ujarnya yang juga Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Batu Kawan.
Exco Kebajikan dan Masyarakat Penyayang, Phee Boon Poh yang juga ADUN Sungai Puyu; Pengarah Jentera PH PRU15 merangkap Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), P. David Marshell dan lain-lain pemimpin tempatan turut menyertai majlis penghargaan bersama-sama hampir 200 jentera lokal yang diadakan khas tersebut.