JAWI – Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang perlu bekerja keras bagi memastikan kemenangan di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, semua parti komponen dalam PH perlu segera mengatur strategi dan merangka program untuk menyelesaikan masalah-masalah yang telah dikenal pasti semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
“Kita boleh berehat dalam satu atau dua minggu lagi untuk mendapatkan maklum balas, membersihkan kawasan dan menyediakan laporan berkaitan urusan PRU15 lalu.
“Mungkin menjelang Januari nanti, kita perlu mula bekerja keras terutamanya dalam mengatur strategi, merangka program, mengadakan lawatan serta mendekati masyarakat bagi mencari penyelesaian kepada isu-isu yang dikumpul semasa kempen.
“Di Batu Kawan contohnya, saya sudah mengaturkan sesi libat urus dengan agensi-agensi berkaitan untuk mendapatkan respons kepada isu-isu yang dibangkitkan oleh penduduk.
“Selain itu, kita juga akan mendengar cadangan dan pandangan daripada agensi-agensi terlibat berhubung penyelesaian bagi pelbagai masalah di kawasan Batu Kawan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Khatan Perdana KADUN Jawi dekat Dewan Serbaguna Jawi, Sungai Jawi di sini sebentar tadi.
Ditanya mengenai ramalan bahawa PH boleh hilang enam atau tujuh kerusi dalam PRN akan datang, Kon Yeow berkata bahawa pandangan itu adalah berdasarkan keputusan di peringkat Parlimen pada PRU15 lalu.
“Keputusan di peringkat Parlimen mengikut saluran-saluran pengundian boleh memberikan satu gambaran sebenar mengenai pilihan para pengundi di kawasan masing-masing pada PRN akan datang.
“Apa yang saya nyatakan adalah hakikat berdasarkan pengundian yang sudah di lakukan di peringkat Parlimen yang memperlihatkan di beberapa kawasan DUN yang mana kita gagal mendapatkan undi majoriti,” katanya.
Justeru, Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang menjangkakan semua parti politik di negara ini akan memandang keputusan PRU15 secara serius.
“Saya rasa semua parti akan memandang serius keputusan PRU15 dan membuat analisis untuk melihat kelemahan serta kekuatan masing-masing, seterusnya mengatur strategi yang sesuai bagi memastikan kemenangan para PRN akan datang,” ujarnya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.
Terdahulu, Kon Yeow meramalkan bahawa PH boleh hilang enam atau tujuh kerusi dalam PRN akan datang, berdasarkan trend yang dilihat dalam PRU15.