GEORGE TOWN – Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang mengumumkan barisan baru bagi tempoh kepimpinan tahun 2024/2026.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow kekal dipilih sebagai pengerusi gabungan parti tersebut.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar; Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang, Steven Sim Chee Keong dan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri, Muhammad Faiz Fadzil dipilih sebagai Timbalan Pengerusi.
Begitu juga dengan tiga Naib Pengerusi diisi oleh wakil ketiga-tiga parti iaitu Ramkarpal Singh (DAP), Dr. Zaidi Zakaria (AMANAH) dan Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid (PKR).
Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying kekal sebagai Setiausaha PH Negeri dan akan dibantu oleh dua Timbalan Setiausaha iaitu Zulkiefly Saad (PKR) dan Zahar Zainul (AMANAH).
Dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) yang dilangsungkan secara hibrid iaitu bersemuka dan dalam talian berkaitan, ketiga-tiga parti telah menghantar 11 perwakilan menjadikan keseluruhan yang dipilih dalam jawatankuasa baharu PH Negeri pada petang ini (27 Februari 2025) adalah seramai 33 orang.

Dalam sidang media di Wisma DAP Pulau Pinang, Kon Yeow memberitahu bahawa kekangan masa merupakan antara faktor AGM tersebut tidak dapat diadakan pada tahun lepas, dan dibenarkan tangguh sehingga tarikh akhir pada 28 Februari 2025.
“Pakatan Harapan Pulau Pinang yakin bahawa kepimpinan baharu ini akan terus memperkukuh kestabilan politik negeri serta memperjuang kebajikan rakyat.
“Kerjasama DAP, PKR dan AMANAH bersama-sama Barisan Nasional (BN) akan terus dipertingkatkan bagi memasukkan kesinambungan pentadbiran berkesan,” jelasnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah Komunikasi.
Menjawab soalan pemberita selepas itu, barisan pemimpin PH Pulau Pinang yang baharu berkaitan akan memainkan peranan sehingga tahun 2026 serta akan memimpin sebaik-baiknya, jika Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) diadakan semasa itu.
“Sekiranya dalam tahun ini pun (sebelum tahun 2026) tidak ada pilihan raya, barisan pemimpin baharu ini perlu juga membuat persiapan (menghadapi PRU16),” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Dalam perkembangan lain, Kon Yeow menyatakan bahawa dalam tempoh setahun belakangan ini, beliau melihat tapak sokongan Melayu terhadap Kerajaan Perpaduan sama ada pada peringkat Persekutuan mahupun Negeri Pulau Pinang kian pulih.
“Melalui pelbagai usaha, kita (Perpaduan) dapat stabilkan keadaan dan menunjukkan bahawa parti-parti pembangkang cuma dapat membangkitkan isu-isu yang tidak menjejaskan sokongan kita,” katanya.