PH teliti semula aspek kebajikan rakyat termiskin jika diberi mandat sekali lagi

Admin

BUKIT TENGAH – Calon bagi kerusi Parlimen Batu Kawan, Chow Kon Yeow berkata bahawa Pakatan Harapan (PH) akan memberikan tumpuan terhadap isu-isu kebajikan rakyat termiskin sekiranya diberikan mandat untuk mentadbir Kerajaan Persekutuan sekali lagi.

Ini kerana menurutnya, berdasarkan lawatan ke beberapa Kawasan sebelum ini, beliau mendapati bahawa masih terdapat segelintir rakyat yang hidup di bawah paras kemiskinan tegar tetapi sehingga kini sedang menunggu bantuan kebajikan daripada Kerajaan Persekutuan.

Chow Kon Yeow mendengar luahan salah seorang penduduk Sungai Semilang mengenai kesusahan hidup yang dialaminya.

“Selari dengan agenda perubahan baik daripada segi institusi kerajaan, pengurusan kewangan dan ekonomi, saya percaya bab kebajikan rakyat juga perlu dilihat semula.

“Kita faham, ada ketikanya sumber yang disalurkan untuk tujuan-tujuan kebajikan sememangnya tidak mampu menampung pelbagai permintaan selama ini.

“Oleh itu, adalah baik sekiranya lebih banyak peruntukan dapat diagihkan demi memastikan rakyat diberikan kebajikan bukan hanya dalam bentuk one-off, tetapi bantuan juga perlu disasarkan kepada golongan yang benar-benar hilang keupayaan untuk mencari pendapatan,” katanya ketika ditemui selepas melawat bilik operasi serta berkunjung ke beberapa kediaman keluarga yang memerlukan dekat Sungai Semilang, Juru di sini sebentar tadi.

Turut melawat dan menyampaikan sumbangan kepada warga emas yang uzur.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung; ADUN Perai, Prof. Dr. P. Ramasamy; ADUN Bagan Jermal, Soon Lip Chee serta barisan jentera Pakatan Harapan.

Mengulas lanjut mengenai lawatan tersebut, Kon Yeow berkata bahawa rata-rata penduduk yang ditemui menyatakan harapan agar bantuan kebajikan yang dipohon daripada Kerajaan Persekutuan khususnya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu dipercepatkan.

“Saya difahamkan beberapa kes di sini sedang diproses oleh pejabat ADUN Bukit Tengah termasuk ada permohonan untuk masuk ke rumah orang tua tetapi akan mengambil sedikit masa lagi.

“Selain itu, kita juga dapati ada keluarga di sini yang tidak ada sumber pendapatan dan sepatutnya layak menerima bantuan kebajikan daripada Kerajaan Persekutuan supaya mereka menikmati kehidupan yang lebih selesa,” ujarnya.

Menziarahi pendukung kuat Pakatan Harapan yang kehilangan anak akibat kanser selepas singgah bersarapan di warung Pak Abu.

 

Terdahulu, Kon Yeow singgah ke warung Selera Kampung Pak Abu untuk bersarapan pada jam 9 pagi sebelum meluangkan masa menziarahi kediaman ibu tunggal yang juga pendukung kuat Pakatan Harapan, Rokiah Arifin, 72, yang baru kehilangan anak tercinta akibat penyakit kanser.

Selepas itu, beliau mengadakan jerayawara ke sekitar kawasan itu untuk menyantuni peniaga dan penduduk setempat.