PHC lancar setem kenang-kenangan 100 tahun funikular Bukit Bendera

Admin
KETUA Menteri (kanan) diiringi Fiona Liao semasa gimik pelancaran set lengkap Setem Kenang-Kenangan beserta Sampul Surat Hari Pertama sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-100 Funikular Bukit Bendera di sini pada 21 Ogos 2023.

GEORGE TOWN – Kerajaan Perpaduan Negeri melalui agensinya Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PHC) dengan kerjasama Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) hari ini melancarkan Setem Kenang-Kenangan serta Sampul Surat Hari Pertama sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-100 Funikular Bukit Bendera di sini.

Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata inisiatif bersama itu akan menyegarkan kenangan semua pihak tentang perkhidmatan keretapi funikular Bukit Bendera, sejak generasi pertama koc dulu hingga generasi ketiga koc kini.

“Keretapi (Funikular) Bukit Bendera ini adalah simbol kemajuan dan perpaduan (yang mana) memulakan perkhidmatan sulungnya pada 21 Oktober 1923.

“Pada hari ini, kita sama-sama bagi menyambut ambang 100 tahun ulang tahun perkhidmatannya dengan pelbagai kenang-kenangan, perubahan demi perubahan serta atas semangat perpaduan yang di bawa kepada komuniti kita,” jelasnya dalam majlis berkaitan di Bilik Mutiara, Stesen Bawah Bukit Bendera di sini pada 21 Ogos 2023.

Kata Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi itu lagi, setem kenang-kenangan serta sampul surat berkaitan boleh didapati secara dalam talian dan juga di pejabat-pejabat pos terpilih di seluruh negara mulai esok, iaitu 22 Ogos 2023 (Selasa) dengan kadar harga RM64.20 bagi setiap satu set lengkap.

KOLEKSI istimewa berkaitan.

Buletin Mutiara difahamkan, reka bentuk asal koc funikular generasi pertama adalah diperbuat daripada kayu, membawa penumpang sejak tahun 1923 hingga 1997, diikuti generasi kedua koc funikular (1977 hingga 2010).

Beroperasi sejak 2010 sehingga kini, funikular generasi ketiga pula menggunakan landasan yang telah ditambah baik; dengan kapasiti membawa penumpang hampir 100 orang pada satu-satu masa selama lima minat seperjalanan ke puncak Bukit Bendera.

Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Kumpulan Pos Malaysia, Fiona Liao turut berucap pada majlis tersebut.

ANTARA pemimpin Kerajaan Negeri yang hadir pada majlis berkaitan di sini tadi.

Hadir sama, mantan Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar; Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai; ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang; ADUN Kebun Bunga, Lee Boon Heng; ADUN Pulau Tikus, Joshua Woo Sze Zeng; Pengurus Besar PHC, Dato’ Cheok Lay Leng dan Pengurus Pos Malaysia Pulau Pinang, Ismahari Alwi serta Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Utara Semenanjung Malaysia, Shahrul Aman Sabir Ahmad.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : LAW SUUN TING