SELEPAS menjuarai pingat emas dan gangsa masing-masing dalam Asian Karate Federation (AKF) dan Sukan Asia Tenggara (SEA) pada tahun 2001, atlet yang pernah mendapat bimbingan legenda karate Lim Lee Lee, NICOLE LEE PHEI SZE, 45 terus bergiat aktif sebagai jurulatih sukan karate Pulau Pinang sehingga kini.
Phei Sze kini mengendalikan kelas di lapan buah sekolah dan pusat di negeri ini dan menghabiskan sebahagian besar masanya melatih atlet negeri di bawah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP).
Baru-baru ini, wartawan yang juga jurugambar pelatih Buletin Mutiara, NUR SYAKIRAH MOHD. BASRI berkesempatan menemu bual Phei Sze bagi mengetahui usaha beliau dalam meningkatkan lagi prestasi sukan karate di negeri ini.
Memulakan bicara, Phei Sze berkata bahawa beliau mula mengajar karate bermula pada tahun 2002 di Penang Goshin-Ryu Karate Association dan baru sahaja melibatkan diri menjadi jurulatih untuk Sukan Malaysia (SUKMA) lima tahun lalu.
“Sekarang saya mempunyai seramai 40 pelajar dan atlet di bawah bimbingan saya sedang berlatih untuk menyertai SUKMA 2024 di Sarawak yang akan datang,” katanya.
Difahamkan, latihan karate diadakan enam hari seminggu melibatkan sebanyak sembilan jenis latihan selama dua jam bermula jam 8 hingga 10 malam.
Phei Sze turut dibantu oleh M. Dhinesh Kumar, 23, jurulatih sementara di bawahnya yang merupakan seorang pemenang pingat gangsa kategori Individu Lelaki 67 kilogram (kg) Kumite dalam Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022, Universiti Pengurusan dan Sains (MSU) Pulau Pinang.
“Semua atlet dan pelajar yang menyertai karate di sini telah ‘ditapis’ oleh Penang Karate Federation (PKF) dan MSNPP bagi memastikan kesungguhan dan kecergasan mereka sebelum diserap menjadi wakil negeri.
“Sebelum ini, saya pernah mengendalikan atlet yang mempunyai prestasi yang bagus tetapi pemikiran dan mentalitinya merosot, jadi dia tidak berjaya memenangi perlawanan.
“Namun begitu, ada seorang yang tidak berapa bagus prestasinya tetapi disebabkan keyakinan dan fokusnya dalam perlawanan membuatkan dia memenangi perlawanan tersebut.
“Justeru, saya mahukan atlet yang komited dan berdisiplin sahaja kerana sukan (karate) ini amat mementingkan disiplin dan kefokusan diri di samping prestasi, bakat, pemikiran dan juga kecergasan,” tegasnya.
Phei Sze juga berkongsi bahawa kini atlet di bawah bimbingannya sudah mula membuat persediaan bagi menghadapi SUKMA 2024 di Sarawak.
“Bagi SUKMA Sarawak 2024, majoriti atlet merupakan atlet baru, jadi saya hanya akan hantar yang mempunyai kualiti terbaik dalam kalangan mereka.
“Pemilihan adalah berdasarkan bagaimana teknik mereka berlawan dan kami masih dalam proses penilaian kekuatan para atlet di akademi ini.
“Saya tidak meletakkan harapan yang tinggi memandangkan banyak ‘wajah baharu’ tetapi saya berharap sekurang-kurangnya satu pingat emas untuk negeri dibawa pulang oleh salah seorang atlet yang menyertai temasya ini nanti,” tambahnya yang juga jurulatih kepada pemenang pingat emas kategori bawah 84 kg Kumite di Sukan Asia 2023, Muhamad Arif Afifuddin Ab. Malik dekat Hangzhou, China.
Ditanya mengenai cabaran sepanjang menjadi jurulatih, Phei Sze berkata antaranya adalah berhadapan dengan pelajar yang berbeza jurulatih.
“Gabungan bersama PKF melibatkan jurulatih atau pengajar yang dari latar belakang dan teknik yang berbeza.
“Ada setengah pengajar yang betul-betul niat untuk mengajar atlet menjadi jaguh tetapi ada pengajar yang hanya ‘reti’ buat aduan mengenai atlet yang tidak mahir sebagainya dan perkara ini membuatkan saya simpati dengan nasib para atlet yang kurang bernasib baik.
“Selain itu, masa latihan juga antara cabaran utama kerana kebanyakan atlet atau pelajar merupakan pelajar sekolah dan juga universiti, sukar jika masa berlatih kurang kerana kehandalan seseorang atlet itu bergantung kepada perkembangan mereka berlatih setiap hari,” jelas Phei Sze.
Menamatkan sesi wawancara, Phei Sze merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada PKF dan MSNPP kerana banyak membantu akademinya dari dulu sehingga kini.
“Oleh itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pengarah MSNPP, Harry Chai Heng Hua kerana banyak membantu saya daripada ‘nobody to somebody‘ sehingga saya mempunyai kumpulan atlet tersendiri.
“Tanpa sokongan MSNPP, sangat sukar untuk saya berada di tahap ini bersama-sama akademi karate ini dan juga terima kasih kepada PKF kerana sering memberi sokongan dari belakang kepada jurulatih,” katanya menutup bicara.