PHS rancang jadikan September sebagai bulan kesedaran jantung

Admin

GEORGE TOWN – Pertubuhan Jantung Pulau Pinang (PHS) merancang untuk menjadikan bulan September sebagai bulan kesedaran jantung peringkat negeri dalam usahanya meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga kesihatan terutamanya serangan jantung.

Pengerusi PHS, Datuk Cheah Seong Paik menyatakan hasrat tersebut kepada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow ketika mengadakan kunjungan hormat dekat pejabatnya di Komtar sebentar tadi.

Menurut Seong Paik, penyakit jantung iskemik kekal sebagai punca kematian utama rakyat Malaysia dengan bilangan kematian sebanyak 13,503 atau 13.9 peratus tahun lalu.

“Penyakit jantung atau kardiovascular (CVD) kini bukan sahaja dihadapi oleh mereka yang telah berusia, malah turut menyerang golongan muda disebabkan gaya hidup yang diamalkan.

“Justeru, PHS juga bercadang untuk memperkenalkan keahlian kepada orang ramai, agar lebih ramai yang peka dan prihatin tentang kesihatan jantung mereka tanpa mengenal usia,” ujarnya.

Hadir sama, enam ahli-ahli jawatankuasa tertinggi PHC.

Difahamkan, PHS merupakan sebuah pertubuhan baru yang ditubuhkan bukan berasaskan keuntungan sebaliknya berfungsi untuk memberi kesedaran serta pendidikan kepada umum dan melaksanakan kempen berkaitan jantung.

Kon Yeow dalam pada itu menyatakan kepercayaannya bahawa pertubuhan PHS berkaitan mampu memberikan lebih banyak manfaat kepada umum pada masa hadapan meskipun ia baharu saja ditubuhkan pada Januari lalu.

“Isu jantung ini adalah dekat dengan hati semua orang. Saya percaya PHS dapat membantu lebih ramai orang pada masa hadapan,” jelasnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ALVIE CHENG