PICK : Pelajar, sukarelawan MyVac kongsi pengalaman 

PANTAI JEREJAK – Bermula pada 6 Oktober 2021, individu yang layak dan masih belum memperoleh sebarang janji temu vaksinasi adalah dibenarkan untuk hadir terus (walk-in) ke semua Pusat-pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri ini, termasuk remaja berusia 12 hingga 17 tahun.

 

Inisiatif ini adalah bagi memastikan kesinambungan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) untuk golongan dewasa, remaja dan dos penggalak dapat diteruskan dengan lancar. 

 

Melalui tinjauan wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI bersama-sama jurugambar, DARWINA MOHD. DAUD di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Setia SPICE Convention Centre (SSCC) hari ini, terdapat segelintir remaja menggunakan masa berharga ini untuk mendapatkan vaksin. 


Penuntut di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), ADAM DANISH ALFARISWADI, 15, berkongsi perasaan menerima vaksin hari ini.

 

“Gementar juga nak berjalan masuk untuk vaksin, saya harap semuanya selamat sahaja, kawan-kawan pun sudah ramai vaksin, jadi lepas ini harap dapat kembali semula ke sekolah.


“Paling awal pun saya dimaklumkan mungkin bulan November, apapun bergantung kepada keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya yang tinggal di Bayan Lepas.

 

Seorang lagi responden yang merupakan pelajar Tingkatan Tiga, TEH YU XI, 15, menjelaskan bahawa niatnya cuma satu iaitu untuk kembali ke sekolah dengan selamat.

 

“Saya berharap apabila ramai remaja divaksin, sesi persekolahan dapat disambung semula, selain itu lebih rasa selamat untuk keluar bersama kawan-kawan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” jelas pelajar berusia 15 tahun yang menuntut di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Han Chiang itu.

 

Kesempatan sama, Buletin Mutiara juga sempat menemu ramah tiga sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVAC)  di HCO C dan HCO D yang bertugas sejak awal pembukaan PPV SSCC pada 1 Ogos lalu.

Penyelaras bagi PPV SSCC, AMINUDIN AHMAD NASIR memberitahu bahawa hari ini adalah hari terakhir pemberian vaksin secara terus bagi HCO C dan HCO D.

 

“Sehingga jam 11 pagi, dianggarkan kira-kira 50 remaja, hadir untuk mendapatkan suntikan vaksin secara terus.

 

“Memandangkan hari ini adalah hari terakhir pengoperasian PPV SSCC, jadi dos kedua mereka akan terima suntikan di PPV lain.

 

“Kita sasarkan mungkin 100 orang akan datang secara terus di sini, mungkin dengan cuaca hujan menjadi penyumbang kepada kehadiran yang agak perlahan dan mungkin ramai yang sudah mengambil suntikan melalui temu janji MySejahtera,” ulas beliau.

Berdepan perlbagai kerenah menjadi satu pengalaman berharga kepada NUR BATRISYIA UZMA MOHD. FAUZI.


“Setelah lebih dua bulan di sini saya akui susah nak tinggalkan tempat ini, bertugas di sini beri satu pengalaman berharga kepada saya mengenai cara berkomunikasi, melayan karenah orang ramai dan dapat banyak kawan,” ujar penuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam jurusan Kejuruteraan Petroleum itu.

Seorang lagi petugas, NOR JASMINA QURAISI SYED AHAMED ARIFFIN, turut bengkongsi pengalaman sama dan bersedih di hari terakhir mereka di situ.

 

“Antara pengalaman yang tidak boleh lupa memang adakalanya terlalu sibuk sampai tidak sempat makan, walaupun agak pantas masa berlalu namun pengalaman di sini saya tidak akan lupakan sampai bila-bila,” kongsi pelajar dalam jurusan Pengurusan Sistem di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Johor itu kepada Buletin Mutiara.