PICKids dahulukan kanak-kanak komorbiditi dan berisiko tinggi – Exco

Admin

GEORGE TOWN – Program Imunisasi COVID-19 Untuk Kanak-kanak atau PICKids peringkat negeri Pulau Pinang berjalan lancar dengan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun mula menerima suntikan dos pertama masing-masing.

DR. Norlela Ariffin.

Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin berkata kanak-kanak yang menghidapi komorbiditi dan berisiko tinggi telah diberikan keutamaan dalam program PICKids peringkat negeri.

“Bagi permulaan PICKids, pihak hospital mendahulukan 10 orang kanak-kanak untuk menerima suntikan vaksin agar pemerhatian dapat dijalankan dan dalam masa yang sama dapat mengenal pasti kesan sampingan yang bakal dihadapi.

“Di samping itu, ibu bapa serta guru-guru dinasihatkan agar memastikan kanak-kanak yang telah divaksin tidak melakukan sebarang aktiviti lasak dan berehat sekurang-kurangnya sehingga tempoh dua minggu,” katanya selepas meninjau proses pemberian vaksin kepada kanak-kanak di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Sri Puteri, Hospital Pulau Pinang (HPP), di sini pada 7 Februari lalu.

Pada masa sama, Norlela turut memaklumkan bahawa pemberian vaksin bagi kanak-kanak biasa sedang dalam perbincangan dan bakal dimaklumkan kelak.

“Perbincangan bersama-sama pihak Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPN) telah dilakukan dan pemberian vaksin berkemungkinan akan dilaksanakan melalui sekolah dan juga klinik kesihatan yang berdekatan.

“Sebagai makluman, seramai 40,000 daripada 160,000 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun telah membuat pendaftaran bagi mendapatkan vaksinasi dan diharapkan ikhtiar tersebut dapat melindungi mereka daripada sebarang risiko jangkitan,” jelasnya lagi.

DR. M. Malini bersama dua orang anaknya.

Sementara itu, Dr. M. Malini, ibu kepada dua orang anak lelaki, G. Shivvaen dan G. Dhanvinn, yang menerima suntikan vaksin memberitahu bahawa kedua-dua anaknya bersemangat untuk divaksinasi.

“Mereka (Shivvaen & Dhanvinn) sentiasa bertanya mengenai bila giliran kanak-kanak untuk divaksinasi kerana bagi mereka lebh selamat untuk bermain di luar bersama kanak-kanak lain jika sudah menerima suntikan vaksin.

“Mereka juga kelihatan sangat tenang semasa menerima suntikan vaksin.

“Oleh itu, di kesempatan ini saya ingin menyeru kepada semua pihak untuk turut mengambil vaksin dengan segera,” tambahnya yang juga seorang doktor pakar kanak-kanak di Hospital Pulau Pinang.

Teks & Gambar : NUR ASHIKIN ISMAIL