PICSB agih bakul makanan, rai nelayan setempat sempena Deepavali

Admin
679fd6c5 a5b5 4517 ad3a 92cefaca9a30

BATU MAUNG – Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd. (PICSB) mengagihkan lima bakul makanan kepada nelayan setempat yang terdiri daripada kaum India sempena perayaan Hari Deepavali tahun ini.

Program tersebut yang memasuki tahun kelapan pada tahun ini bukan sahaja bertujuan meringankan beban penerima tetapi juga untuk membantu mereka melakukan persiapan menjelang perayaan Deepavali yang bakal tiba.

3be49d2b 53bb 4e87 a0f2 c5db05e5ca20
ANN Tan.

Ketua Komunikasi Strategik merangkap Pengurusan Pihak Berkepentingan Silicon Island Development Sdn. Bhd., Ann Tan berkata, sumbangan tersebut juga sebagai tanda penghargaan terhadap nelayan setempat.

“Sumbangan ini adalah demi memastikan tiada sesiapa yang dipinggirkan, dan semua (nelayan) di sini hidup secara harmoni dalam masyarakat berbilang bangsa, latar belakang dan kepercayaan.

“Adalah diharapkan agar sumbangan bakul makanan berupa hamper bernilai RM200 ini dapat memberi nikmat perayaan yang penuh keceriaan dan kemakmuran.

“Di samping itu, pelbagai program dan aktiviti telah disusun oleh PICSB bagi perayaan dan sambutan seterusnya khusus untuk komuniti nelayan setempat di sini,” ujarnya pada Majlis Pemberian Bakul Makanan Sempena Perayaan Deepavali 2024 dekat Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) Permatang Damar Laut semalam.

Difahamkan, sumbangan bakul makanan ini telah memanfaatkan lebih 2,000 penerima yang terdiri daripada nelayan setempat pada setiap musim perayaan.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI