Pihak berkepentingan diseru erat jalinan kerjasama, pastikan Penang2030 suatu realiti

Admin

GEORGE TOWN – Semua pihak berkepentingan terutamanya agensi Kerajaan Negeri diseru mengeratkan jalinan kerjasama ke arah menjadikan visi Penang2030 suatu realiti.

Seruan tersebut dilakukan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo ketika penggulungan pembentangan Seminar Penang2030 dekat sebuah hotel di Tanjung Bungah semalam.

“Penting untuk kita punyai visi, tetapi tiada guna sekiranya (kita) ada visi tetapi tidak boleh dicapai.

“Jadi hari ini kita ada di sini untuk melihat kalau ada permasalahan untuk dilihat dan perlu bantuan selanjutnya dari Kerajaan Negeri, mesti maklumkan, jangan-diam-diam kerana visi Penang2030 perlu dicapai,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

Seminar membabitkan agensi negeri iaitu Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang, MBPP dan MPSP masing-masingnya turut melakukan pembentangan dalam mengenal pasti hala tuju visi Penang2030.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Datuk Azhar Arshad; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang dan Yang di-Pertua bagi Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud.

Dalam sesi penggulungan tersebut, antara perkara penting yang turut disentuh Jagdeep termasuklah penyedian rumah kos rendah (KR)/kos sederhana rendah (KSR), pemanasan global, rancangan khas kawasan, bandar raya pintar serta penanaman pokok.

Kesempatan sama turut digunakan Jagdeep untuk merakamkan ucapan tahniah kepada wira-wira MBPP dan MPSP yang dianggap selesai menjalankan kerja-kerja pembersihan kesan taufan Lekima minggu lalu.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MBPP