Pihak berwajib digesa tangani masalah pembuangan sampah berhampiran SJKT Ramathasar

Admin
whatsapp image 2024 12 17 at 19.45.19

SUNGAI PINANG – Pihak berwajib khususnya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pulau Pinang digesa supaya mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani masalah pembuangan sampah berhampiran Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ramathasar di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim berkata, tindakan membuang sampah di kawasan berkenaan telah menimbulkan ketidakselesaan kepada penduduk setempat.

“Berdasarkan tinjauan saya ke lapangan mendapati terdapat longgokan sampah yang mengandungi botol, plastik sekali guna, kayu dan sebagainya ditinggalkan di sini.

“Saya difahamkan bahawa sampah-sarap ini diangkut dari sungai berdekatan oleh kontraktor yang dilantik oleh JPS Negeri dan ditinggalkan di sini selama beberapa hari untuk mengasingkan sampah sarap yang boleh dikitar semula.

“Keadaan ini telah menimbulkan masalah bau busuk selain merisikokan kesihatan penduduk setempat ekoran kawasan ini berisiko menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

“Saya berharap agar pihak JPS dapat mengarahkan kontraktor terlibat supaya membersihkan kawasan tersebut setiap hari agar tidak timbul masalah kepada penduduk setempat,” katanya kepada pemberita ketika meninjau permasalahan tersebut di sini semalam.

whatsapp image 2024 12 17 at 19.45.29 whatsapp image 2024 12 17 at 19.45.21

Turut hadir, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Theng Jie Wey; Penolong Jurutera JPS Pulau Pinang, Azhar Abdul Shukor; Koordinator Lembaga Pengelola SJKT Ramathasar, Dato’ P. Murugiah serta pegawai-pegawai dari MBPP dan JPS.

Pada masa sama, Siew Khim turut menggesa agar tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap mereka yang melakukan kesalahan membuang sampah secara haram.

“Pasukan tindakan khas mungkin boleh terdiri daripada JPS, MBPP dan agensi-agensi berkaitan bagi menangani masalah pembuangan sampah haram di negeri ini.

“Saya juga menyeru kepada penduduk di negeri ini supaya tidak membuang sampah di merata-rata tempat kerana boleh mendapatkan impak negatif kepada alam sekitar.

“Bukan itu sahaja, sampah-sarap yang dibuang ini akan dialirkan ke longkang atau sungai yang menyebabkan saliran tersumbat sekali gus mengundang bencana banjir kilat,” tegasnya.

Sementara itu, Azhar memberitahu bahawa JPS akan mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani masalah tersebut.

“Setiap hari kami keluarkan sampah dari sungai di sini kira-kira satu tan sehari.

“Kami akan berusaha untuk mengangkut sampah-sarap ini setiap hari tetapi langkah ini akan menyebabkan kos operasi akan meningkat kerana lori dan tenaga kerja perlu ditingkatkan,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADUN