GEORGE TOWN – Semua pihak yang terlibat dalam arena sukan perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan asas berkaitan isu-isu penyalahgunaan dadah atau doping.
Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Cheah Ban Cheng ketika berucap pada Program Kesedaran Anti-Doping dekat Auditorium C, Komtar baru-baru ini.
“Umumnya, program ini adalah sangat penting bagi semua pihak yang terlibat dengan sukan secara langsung mahupun tidak langsung untuk mengetahui tentang kesedaran pengumpulan sampel.
“Selain daripada menggalakkan penglibatan para jurulatih dan juga persatuan untuk bersama-sama dalam menangani isu doping di negeri Pulau Pinang, program ini juga merupakan platform bagi meningkatkan pengetahuan serta kemahiran semua pihak termasuk atlet-atlet,” ujarnya yang mewakili Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perubatan dan Antidoping Majlis Olimpik Asia yang juga bekas juara pecut Asia, Tan Sri Dr. M. Jegathesan; Wakil Agensi Anti-Doping Malaysia (ADMAS), Nishel Kumar dan wakil-wakil MSNPP.
Justeru, Ban Cheng berharap agar program tersebut mampu mencapai objektif iaitu memberikan kesedaran tentang isu doping dalam arena sukan serta pendekatan mengawalnya.
Dalam pada itu, Jegathesan ketika berucap memberikan tumpuan kepada kes-kes melibatkan atlet-atlet negara serta di peringkat antarabangsa.
Tambahnya, penggunaan dadah biasanya mengikut jenis sukan yang diceburi atlet sama ada disiplin sukan tersebut memerlukan tumpuan, tenaga atau stamina.
“Misalnya, penggunaan dadah bagi atlet menembak memerlukan tumpuan adalah berbeza dengan atlet terlibat dalam sukan basikal yang menggunakan stamina.
“Selain itu, ada juga kes di mana atlet menggunakan dadah melibatkan diuretic bagi menurunkan berat badan untuk bertanding pada kategori yang lebih ringan berbanding berat asalnya,” jelasnya lagi.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : WO YEE QI