GEORGE TOWN – Penganjuran persidangan halal terbesar di Pulau Pinang, Penang International Halal Expo and Conference (PIHEC) pada 1 hingga 3 Julai ini berjaya menarik penyertaan daripada negara-negara di Asia Tenggara yang menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan halal global.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa lebih sedekad Kerajaan Negeri melalui agensi negeri, Penang Halal International, PHI (sebelum ini PIHH Development Sdn. Bhd.) menerokai usaha dan pembangunan industri halal di negeri ini.
“Saya percaya usaha ini akan terus berkembang sejajar dengan perkembangan digital dan inovasi semasa untuk memacu pertumbuhan industri halal di Pulau Pinang.
Meskipun Pulau Pinang mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi dalam sektor pembuatan iaitu sebanyak RM76.2 bilion pada tahun lalu, ditambah dengan prestasi eksport yang amat baik, namun kita (Kerajaan Negeri) harus melihat sektor-sektor lain yang berpotensi.
“Kita perlu bergerak melangkaui (fokus sektoral kini) iaitu sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta melaraskan semula (sektor-sektor berpotensi) terutama dalam tempoh pasca pandemik ini,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di Komtar pada 7 Jun 2022.
Hadir sama, Exco Perdagangan & Industri dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain dan Ketua Pegawai Eksekutif PHI, Fazil Irwan Mohd. Som.
Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada Abdul Halim serta pasukan daripada PHI kerana ‘menghidupkan semula’ penganjuran PIHEC setelah tertangguh selama dua tahun akibat pandemik COVID-19.
“Saya juga mengalu-alukan kedatangan semua pengunjung ke Pulau Pinang terutama dari luar negara untuk menyertai dan mengadakan lawatan ke PIHEC yang bakal dilangsungkan di Setia SPICE Convention Centre nanti,” serunya.
Dalam pada itu, Fazil Irwan memaklumkan bahawa penganjuran PIHEC tahun ini adalah yang ke-11.
“Penganjuran PIHEC 2022 ini adalah penting yang mana pengilang terbaik dalam rantaian bekalan halal global dari seluruh Asia Tenggara seperti Indonesia; Vietnam; Thailand; Filipina dan Kemboja menyertai ekspo kali ini.
Mereka merupakan antara pemain utama industri dalam pelbagai sektor terutamanya makanan dan minuman (F&B); perkhidmatan kewangan dan perbankan; fesyen; komestik; teknologi serta logistik.
“Kita (PHI) juga menerima penyertaan dari Sepanyol yang pastinya akan merancakkan lagi penganjuran kali ini dengan 161 reruai dibuka secara percuma kepada pengunjung,” katanya.
Selain itu, menurut Abdul Halim, PIHEC 2022 akan mengadakan beberapa siri perbincangan panel mengenai pelarasan semula industri pasca pandemik.
“Seramai 16 penceramah terkemuka akan turut serta antaranya Profesor Emeritus Annie Koh dari Singapore Management University (SMU); Datuk Dr. Hamzah Kassim (Pengerusi Hong Leong Islamic Bank); Brigadier General Madan Charito B. Plaza (Ketua Pengarah di Philippine Economic Zone Authority , PEZA); Pengarah Kanan di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), A. Arividya dan ramai lagi.
“(Dan) antara topik perbincangan termasuk adaptasi teknologi mampan dalam industri halal; peluang perjanjian perdagangan bebas berskala mega; cabaran logistik akibat kenaikan kadar inflasi; keselamatan makanan peringkat global dan lain-lain lagi yang berkaitan,” jelasnya.
Bertemakan ‘Building Resilience and Sustainability Towards Stronger Growth’, PIHEC 2022, merupakan program utama (flagship program) PHI sejak tahun 2010 lagi dan bakal dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : DARWINA MOHD. DAUD Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS