Pilih P. Pinang bertepatan matlamat Hilton

GEORGE TOWN – Hilton Worldwide (Hilton), sebuah syarikat hospitaliti antarabangsa berpangkalan di Amerika Syarikat baru-baru ini mengumumkan pembukaan resort pertamanya, DoubleTree Resort by Hilton di Pulau Pinang tahun hadapan.

Perkara itu sekali lagi diumumkan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman, Pengumuman Rasmi dan Sidang Media DoubleTree Resort by Hilton di Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

“Pulau Pinang amat berbesar hati apabila dipilih untuk menjadi lokasi pembukaan resort pertama Hilton di sini dan ia merupakan perkembangan yang positif bagi industri pelancongan negeri ini.

“Umum mengetahui, industri pelancongan di negeri ini telah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan ia dijangka akan terus berkembang pesat dengan adanya rangkaian hotel Hilton di negeri ini serta mengukuhkan lagi nama baik serta jenama gergasi perhotelan itu di sini,” katanya pada majlis berkaitan.

Hadir sama, Exco Pembangunan P e l a n c o n g a n , Law Heng Kiang, Pengarah Teddy Ville Capital Sdn. Bhd., Tony Ch’ng dan Penasihat kepada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Daljit Singh Dalliwal.

Turut sama, Ketua Pegawai Eksekutif Cornerstone Partners Sdn. Bhd. (Cornerstone), Jason Chong dan Naib Presiden Hilton Worldwide (Asia), Guy Philips.

Tambah Guan Eng, DoubleTree Resort by Hilton di Pulau Pinang akan menampilkan kelainan dan daya tarikan baharu, berbeza dari rangkaian hotel Hilton sedia ada.

“Salah satunya, muzium anak patung beruang atau teddy bear museum dikenali, Teddy Ville, sebuah galeri bertema yang akan dibangunkan dalam bangunan resort itu sendiri.

“Dan pastinya ia akan menjadi tarikan utama dan trademark setiap kali pengunjung datang ke Pulau Pinang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Jason memberitahu, pihaknya positif untuk mencapai kadar penghunian antara 60 hingga 65 peratus dalam tahun pertama pengoperasiannya.

“Kami yakin, usahasama yang dicapai antara Pinnacle Nexus Sdn. Bhd. (rakan niaga Cornerstone) dan Hilton Worldwide membuktikan komitmen kami untuk menarik lebih banyak kemasukan pelancong ke Pulau Pinang sekaligus menjadi nilai tambah buat Hilton dalam mengukuhkan jenamanya di Malaysia,” jelas beliau.

Bagi Philips, pembukaan DoubleTree Resort by Hilton di Pulau Pinang menunjukkan kesungguhan Hilton dalam menawarkan lebih banyak pilihan buat pengunjung di dan ke negeri ini dengan layanan bertaraf antarabangsa empat bintang.

“Pulau Pinang merupakan antara pusat ekonomi terkemuka di Malaysia dengan tawaran perkhidmatan bertaraf dunia dan kami percaya pemilihan Pulau Pinang adalah bertepatan dan selari dengan matlamat Hilton sebagai peneraju hospitaliti global,” katanya.

DoubleTree Resort by Hilton di Pulau Pinang akan dibangunkan di tapak Hotel Hydro Majestic, Batu Ferringghi dan akan menjalani pengubahsuaian yang terperinci termasuk penyediaan kawasan awam, 318 unit bilik dan suite dilengkapi konsep sistem dwi-kunci, tiga buah restoran, bar, lobi, kafe, bilik pelbagai fungsi, ruang riadah santai dan muzium bertema, Teddy Ville.

Projek bernilai RM230 juta berkenaan dijangka siap menjelang hujung tahun ini dan akan dibuka kepada umum pada suku pertama tahun 2016.

d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);