Pimpinan baru Amanah Pulau Pinang komited bersama Kerajaan Negeri realisasi Visi Penang2030

Admin

GEORGE TOWN – Barisan kepimpinan baharu Parti Amanah Negara (Amanah) Pulau Pinang komited untuk menjalinkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri dalam merealisasikan Visi Penang2030.

Perkara itu dinyatakan oleh Pengerusi Amanah Pulau Pinang yang baru dilantik, Dr. Roslan Ahmad semasa mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dekat pejabat beliau di Komtar, sebentar tadi.

Dr. Roslan Ahmad dilantik sebagai Pengerusi Amanah Pulau Pinang yang baharu.

“Pihak kami juga sedia menjalinkan hubungan lebih rapat dengan pimpinan Kerajaan Negeri bagi memperkukuhkan lagi Pakatan Harapan (PH) di negeri ini dalam usaha membawa perubahan yang dimahukan rakyat terbanyak,” ujarnya pada pertemuan tersebut.

Selain membincangkan mengenai tanggungjawab dan portfolio Ketua Menteri, pertemuan kira-kira hampir sejam itu juga menyentuh beberapa isu termasuk bekalan air mentah, pembangunan tanah, ekonomi, pengangkutan serta komunikasi yang berkesan.

Turut dibincangkan adalah mengenai keperluan bagi Kerajaan Negeri untuk mewujudkan satu polisi yang jelas bagi menghalang tanah-tanah pertanian di negeri ini khususnya di bahagian Seberang Perai ditukarkan status kepada tanah industri.

Dalam pada itu, Kon Yeow menzahirkan penghargaan kepada barisan kepimpinan baharu Amanah Pulau Pinang di atas sokongan padu yang ditunjukkan kepada Kerajaan Negeri sekaligus mengukuhkan lagi ikatan sedia ada Pakatan Harapan di negeri ini.

“Masih banyak cabaran yang perlu ditangani untuk membawa perubahan yang baik kepada rakyat.

“Justeru, sokongan daripada kepimpinan Amanah adalah sangat diperlukan dalam merealisasikan perubahan-perubahan yang dimahukan oleh rakyat jelata,” jelasnya.

Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; Timbalan Pengerusi Amanah Pulau Pinang, Mohammad Yusof Mohammad Noor; Naib Presiden, Dr. Zaidi Zakaria; Setiausaha, Mohd. Saifullah Abd Nasir; Ketua Pemuda, Mohd. Khairul Ali serta 12 lagi ahli jawatankuasa yang baru dilantik.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS