Pinang Festa 2018 platform belia serlah bakat dalam bidang keusahawanan

Admin

SEBERANG JAYA – Golongan belia di negeri ini diseru untuk mengambil bahagian dalam program Pinang Fiesta 2018 yang akan berlangsung pada 14 hingga 16 September ini bertempat di Sunway Carnival Mall, di sini.

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata, program anjuran Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) tersebut adalah platform untuk belia menyerlahkan bakat dan kemahiran dalam bidang keusahawanan.

“Melihat kepada sambutan yang diterima pada penganjuran sebelum ini, Pinang Fiesta 2018 diteruskan buat kali ketiga dengan memperkenalkan tema baru iaitu #HandKrafPinang.

“Pelbagai produk hasil buatan tangan usahawan muda yang kreatif dan inovatif daripada masyarakat berbilang kaum boleh dijual sepanjang program ini berlangsung,” katanya pada sidang media dekat Sunway Carnival Mall, di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Ketua Eksekutif PYDC, Teng Kok Liang; Pengurus Besar Sunway Carnival Mall, Chow Weng Wah dan Wakil Pertubuhan Pembangunan Wanita Tamarai Pulau Pinang, T. Praveena.

Mengulas lanjut, Lip Chee menjelaskan, melalui program itu juga para belia berpeluang menyertai bengkel-bengkel yang akan dikendalikan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Kita (Kerajaan Negeri) mahu golongan belia bermula dari langkah pertama sehingga mereka benar-benar menjadi seorang usahawan yang berjaya pada masa akan datang.

“Diharapkan pesta ini bakal menjadi sebuah program yang mampu mendatangkan pelbagai manfaat kepada usahawan muda di negeri ini,” ujarnya lagi sambil menambah program berkenaan urut dibuka kepada pelajar kolej, universiti dan sekolah menengah.

Bagi mereka yang berminat untuk menyertai program ini atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh hubungi pejabat Exco Belia dan Sukan atau hubungi pihak PYDC di talian 012-4010186 (WhatsApp) atau melalui Facebook: https://www.facebook.com/pydc.my/.

Teks & gambar : SUNARTI YUSOFF