Pinda Akta 757, antara cadangan tangani isu salah guna akaun pengurusan di skim strata

GEORGE TOWN – Pindaan Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) membolehkan Jabatan Pesuruhjaya Bangunan (COB) memantau isu-isu berkaitan pengurusan strata di negeri ini.

Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ts. P.R. Kaliyappan berkata kekangan dalam Akta 757 menyebabkan COB tidak dapat membantu menyelesaikan beberapa isu yang dibangkitkan oleh para penduduk di skim-skim kediaman berstrata.

Menurutnya, kira-kira 571 aduan diterima oleh COB dari tahun 2015 hingga 2020 melibatkan pengurusan akaun yang tidak lengkap atau salah guna akaun pengurusan skim strata.

Berjuta-juta ringgit tidak dapat diaudit kerana butiran akaun tidak lengkap.

“Tambahan pula, tiada sebarang tindakan dapat diambil ke atas pelaku (yang menguruskan akaun pengurusan skim strata) kerana akta diperuntukkan tidak jelas.

“Penduduklah yang paling terjejas kerana pengurusan enggan menunjukkan audit akhir tahun yang betul,” ujarnya pada sesi ucapan penangguhan Mesyuarat Biasa Majlis Bilangan 11/2021 yang diadakan secara telesidang pada 29 November 2021.

Mengulas lanjut, Kaliyappan memaklumkan bahawa COB sedang memantau kira-kira 1,374 unit termasuk Badan Pengurusan Bersama (JMB), Perbadanan Pengurusan (MC) dan Perbadanan Pengurusan Subsidiari (Sub MC).

“Kebiasaanya, akaun sesebuah pengurusan akan diuruskan oleh bendahari dan dipantau oleh pengerusi dengan ahli jawatankuasa lain.

“Maka, agak sukar untuk menyelesaikan isu berkaitan pengurusan akaun kerana tidak dapat mencari siapa yang bersalah atau memegang tanggungjawab penuh audit akhir tahun tersebut.

Oleh itu, saya mencadangkan supaya Akta 767 dipinda yang mana pihak pengurusan yang gagal menunjukkan audit akhir tahun dengan telus tidak boleh dipilih semula sebagai ahli jawatankuasa pengurusan lagi dan nama individu tersebut disenaraihitamkan oleh COB.

“Sekiranya didapati tiada individu yang sesuai untuk sesebuah pengurusan, COB harus mengambil tanggungjawab menyerahkan pengurusan tersebut kepada agen bersesuai buat sementara waktu mengikut Akta 757 Subseksyen 86 (1).

“Selain itu, COB perlu merujuk Akta 757 Subseksyen 62 (2) yang mana juruaudit bertauliah perlu memeriksa akaun tahunan pihak pengurusan selepas setiap mesyuarat tahunan yang diadakan,” katanya yang berpendapat bahawa COB juga wajar menyiasat aduan-aduan lama yang masih tidak selesai untuk diambil tindakan sewajarnya.

Dalam pada itu, Kaliyappan juga mencadangkan supaya COB mengadakan kursus pendek kepada semua pemegang jawatan dalam sesebuah pengurusan bertujuan mendidik mengenai tanggungjawab dan sekiranya gagal melaksanakannya bakal berdepan tindakan tegas.

“Saya percaya kita dapat menyelamatkan wang rakyat daripada disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Saya memohon agar pihak berkuasa tempatan akan merujuk kepada Menteri di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) supaya undang-undang ini dapat dipinda ke dalam Akta757 secara rasmi di parlimen.

“Saya juga harap COB dapat mengkaji semula usul yang dibentangkan hari ini dan mengambil tindakan sewajarnya.” jelasnya.

Terdahulu, Kaliyappan menzahirkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Setiausaha Bandaraya MBPP, Dato’ Ir Addnan Mohd. Razali serta seluruh anggota pihak berkuasa tempatan tersebut atas pengiktirafan sebagai pemenang Anugerah Standard Bandar Raya Pelancong Terbersih ASEAN di Brunei dan ‘Climathon Global Award 2020’ bagi kategori bandar raya di Paris. Juga, memenangi kategori mobiliti dalam World Smart Sustainable Cities Organisation (WeGo) baru-baru ini.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : Ts. P.R. KALIYAPPAN