Pindah akta berkaitan demi mudahkan polisi pembaharuan semula bandar, kata Ketua Menteri

Admin

PANTAI JEREJAK – Reka bentuk lama dan sedia ada pada rumah kos rendah bertingkat begitu sempit, terdiri daripada dua bilik tidur serta sebuah bilik air wajar dirobohkan dan dibina semula demi memastikan para penghuni asal berkenaan dapat dipindahkan dalam unit kediaman moden baharu yang lebih selesa dan lengkap dengan pelbagai kemudahan rekreasi bersama.

GAMBAR ilustrasi projek PBS dan Rumah Mampu Milik (RMM) yang LPNPP cadang untuk dimajukan di tapak asal blok kediaman Mahsuri di sini.

Justeru, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) hari ini melancarkan projek Pembaharuan Semula Bandar (PSB) Mahsuri yang akan siap dalam tempoh empat tahun sebelum proses pemindahan kira-kira 1,000 penghuni asal ke unit kediaman baharu di sini juga.

KETUA Menteri

Selepas merasmikan projek perintis pertama negeri tersebut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pihaknya berharap Putrajaya dapat menggubal atau meminda perundangan berkaitan demi memudahkan proses pelaksanaan polisi PSB di seluruh negara terutama negeri Pulau Pinang.

“Dengan unit kediaman (kos rendah) sekecil 250 kaki persegi, mungkin sesuai untuk jadi pangsapuri studio kepada (mereka yang berstatus) bujang atau profesional yang masih belum mendirikan rumahtangga.

“Kalau untuk satu keluarga, sudah begitu lama Kerajaan Negeri (Pulau Pinang) menetapkan saiz minimum unit kediaman dengan tiga bilik yang sesuai demi tuntutan agama serta sosial.

“Tetapi dalam kebanyakan projek perumahan (kos rendah) selain (lima blok) Mahsuri…yang mana unit-unit perumahan (dari segi reka bentuk pembangunan) sudah jauh ketinggalan dan tidak sesuai lagi.

“Oleh itu, kita (Kerajaan Negeri) berharap Kerajaan Persekutuan dapat juga menggubal atau meminda akta-akta sedia ada dalam projek PSB ini (supaya) kita dapat menggunakan peruntukan perundangan bagi memudah cara serta melicinkan proses penglibatan penghuni dalam blok-blok (berstrata) sedia ada,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan dalam majlis tersebut di sini pada 19 Jun 2023.

Menurut Kon Yeow lagi, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri seharusnya memberikan tumpuan kepada reka bentuk unit kediaman berstrata yang lebih mesra pada proses perkembangan anak-anak sekiranya komited untuk memberikan fokus pada pembangunan keluarga yang berkualiti.

“Unit kediaman berstrata lama sudah tidak mematuhi keperluan semasa (yang mana) kita (Kerajaan) jika maju memberi fokus pada keluarga, perlu mula dengan kemudahan perumahan yang sesuai untuk membesarkan anak-anak kita,” ujarnya.

Sementara itu, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo dalam ucapannya antara lain memberitahu bahawa selain projek ‘runtuh bina semula’ perumahan rakyat di Mahsuri dekat Daerah Barat Daya, Kerajaan Negeri hari ini juga dalam perancangan membina empat projek PSB lain iaitu dua di Daerah Timur Laut serta satu masing-masing di Daerah Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Utara.

Turut berucap, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd. Sayuthi Bakar; Penasihat Undang-Undang Negeri, Roslinda Mohd. Shafie; Pegawai Kewangan Negeri, Zabidah Safar; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran; Pengurus Besar LPNPP, ‘Ainul Fadhilah Samsudi; dan Pengasas dan Penasihat Eksekutif Nilai Arif Sdn. Bhd., Dato’ Seri Khor Teng Tong.

KETUA Menteri (kanan) dan Jagdeep Singh Deo (kiri) dalam sidang media berkaitan di sini pada tengah hari tadi.

Bercakap dalam sidang media selepas itu, Kon Yeow memberitahu bahawa di negara jiran seperti Singapura umpamanya pihak berkuasa hanya perlu mendapatkan persetujuan majoriti penghuni asal bagi merobohkan dan membina semula unit kediaman baharu di bawah projek PBS.

Tetapi dalam projek cadangan PSB Mahsuri umpamanya, beliau berkata bahawa Pihak Berkuasa Negeri perlu mendapatkan persetujuan 100 peratus penghuni terlebih dahulu disebabkan perundangan berkaitan sedia ada tidak memihak pada PSB.

“Sekarang kita (Kerajaan Negeri melalui LPNPP) memerlukan 100 peratus persetujuan penduduk asal, barulah perbadanan (pengurusan, MC) dapat dibubarkan dan tidak berfungsi lagi yang mana sekiranya seorang tidak bersetuju pun, maka tidak jadi juga (PSB Mahsuri).

“Misalnya negara Singapura, peratusan sokongan tak sampai 100 peratus, mungkin ada seorang atau dua (orang) tidak bersetuju (untuk cadangan pelaksanaan PSB), maka projek tidak boleh berjalan.

“(Disebabkan tidak ada pembaharuan akta berkaitan seperti di negara Singapura umpamanya), jika seorang pemilik asal unit kediaman berstrata tidak bersetuju, dia boleh membawa kes mahkamah.

“Maka, di Singapura, peratusan (sokongan secara perundangan) diturunkan kepada 70 peratus,” katanya sambil mengharapkan Putrajaya melihat aspek pembaharuan perundangan berkaitan demi memudahkan polisi PSB.

Tambah Kon Yeow, fasa pertama projek PSB Mahsuri dijangka siap dalam tempoh empat tahun.

“Penghuni asal akan dapat satu rumah ganti satu rumah (baharu)…apabila projek PSB Mahsuri ini siap, penghuni-penghuni asal di blok-blok berkenaan akan dipindahkan.

“Selepas proses pemindahan (penghuni asal Mahsuri di kelima-lima blok berkenaan dilaksanakan), blok yang dikosongkan itu akan dirobohkan untuk pelaksanaan fasa kedua (PSB),” ulasnya lanjut.

Beliau memberitahu bahawa penghuni asal Mahsuri berkenaan akan diberi Rumah Mampu Milik (RMM) baharu dengan luas lantai 850 kaki persegi; terdiri daripada tiga bilik, dua bilik air serta pelbagai kemudahan rekreasi yang lebih baik.

Buletin Mutiara difahamkan projek PSB Mahsuri sahaja menelan kos pembangunan negeri kira-kira RM700 juta, yang mana akan melibatkan pemindahan kira-kira 1,000 penghuni asal atau 240 keluarga ke unit kediaman baharu kelak.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : ALISSALA THIAN