GEORGE TOWN – Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) Permatang Damar Laut yang berkeluasan kira-kira 6,890 meter (m) persegi bakal dijadikan tapak baharu bagi projek pembinaan rumah pam dan tangki sedutan air.
Hasil sesi libat urus bersama-sama penduduk tempatan baru-baru ini, Kerajaan Negeri Perpaduan Pulau Pinang turut bersetuju menyediakan sebidang tanah bersebelahan tapak asal PPSN untuk projek pembina Medan Selera Matang yang bakal menjadi destinasi tumpuan selaras dengan pembangunan Silicon Island.
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata keputusan tersebut diambil oleh Pihak Berkuasa Negeri bersama-sama Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd. (PIC) dan Silicon Island Development (SID) Sdn. Bhd. demi mengutamakan aspirasi rakyat setempat.
Beliau yang juga yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung berkata keputusan tersebut juga dibuat selepas mengambil kira agenda pembangunan ekonomi negeri pada masa hadapan.
“Kita menghargai kerjasama erat yang ditunjukkan oleh penduduk Permatang Damar Laut sepanjang proses (libat urus) ini.
“Sokongan dan maklum balas yang diberikan amat penting dalam memastikan keputusan yang dibuat dapat mencerminkan keperluan serta aspirasi rakyat,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) kepada pemberita di Dewan Sri Pinang pada 19 November 2024.
Pegawai Daerah Barat Daya, Mohd. Hafiz Aswad Nadzri; Ketua Pegawai Eksekutif PIC, Dato’ Seri Farizan Darus dan Pengarah Komunikasi Strategik SID, Azmi Mohamad turut sertai sidang media tersebut.
Terdahulu, cadangan pembinaan rumah pam dan tangki sedutan air berserta dewan tertutup, gelanggang sukan dan gerai makanan bernilai kira-kira RM8 juta di atas padang awam dekat Permatang Damar Laut telah menerima pelbagai reaksi penduduk setempat, hatta Kerajaan Negeri mengadakan sesi libat urus terbuka pada 8 September lepas.
Selaras dengan aspirasi rakyat setempat, cadangan projek tersebut dipindahkan ke tapak alternatif iaitu sebidang tanah milik Kerajaan Negeri yang berada berhadapan dengan projek penambakan laut yang kini dikenali sebagai Silicon Island.
Mengulas lanjut, Farizan memberitahu bahawa projek pembinaan rumah pam dan tangki sedutan air tersebut dijangka siap pada tahun 2027 dan dapat menampung keperluan pengoperasi dalam fasa satu zon perindustrian di Silicon Island.
Sebelum pada itu, di Dewan Seri Pinang, Mohamad mewakili Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) Peringkat Negeri Pulau Pinang bagi tahun 2023.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR