Pintu Gerbang Kepala Batas mercu tanda baharu, hargai sumbang bakti penduduk setempat

Admin
1bacc488 5388 48cd 9e41 c34786aaaead

 

BERTAM – Pintu Gerbang Kepala Batas dengan kos RM1.047 juta bakal menjadi mercu tanda baharu di kawasan ini, dirasmikan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sebentar tadi.

 

 

Menurut Kon Yeow, dengan kepesatan pembangunan di kawasan ini, kewujudan pintu gerbang ini dilihat satu simbolik mengalu-alukan kedatangan pengunjung ke Kepala Batas.

 

 

“Umumnya, pembinaan pintu gerbang sering kali dijadikan sebagai lambang persempadanan atau mercu tanda bagi sesebuah lokasi.

 

 

“Kepala Batas meliputi kawasan seluas 138 kilometer persegi yang padat dengan pelbagai aktiviti ekonomi, pelancongan dan pendidikan.

 

 

“Tambahan pula, dengan pembukaan Bertam Souk & Waterpark, daerah ini semakin menjadi tarikan pengunjung, maka sudah tiba masanya untuk sebuah mercu tanda dibangunkan bagi meraikan kehadiran pengunjung ke Kepala Batas.

 

 

“(Dan) pada masa sama, memberi penghargaan kepada penduduk setempat yang telah tinggal serta menyumbang bakti terhadap pembangunan ekonomi di kawasan ini,” ujar beliau ketika hadir merasmikan Pintu Gerbang Kepala Batas di Jalan Tun Hamdan Sheikh Tahir di sini.

 

 

Hadir sama, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Azhar Arshad; Setiausaha Bandaraya bagi MBSP, Baderul Amin Abdul Hamid dan Ahli-ahli Majlis bagi MBSP.

 

 

Dalam pada itu, Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota merakamkan ucapan terima kasih kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan MBSP yang menyalurkan dana bagi merealisasikan projek tersebut.

 

 

“Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pusat kerana tanpa sokongan pucuk pimpinan di Putrajaya, maka projek ini tidak akan direalisasikan.

 

 

“Sebagai makluman, Pintu Gerbang Kepala Batas ini merupakan salah satu daripada tiga projek yang telah diluluskan oleh KPKT pada tahun 2022 dengan kos sebanyak RM1.047 juta. KPKT telah membiayai kos projek sebanyak RM1 juta dan selebihnya oleh MBSP,” ulas Kon Yeow lagi.

 

a431448f f368 447f 89f6 9c70d4054a40

Difahamkan, projek ini telah dimulakan pada 22 Mac 2023 dan disiapkan sepenuhnya pada 21 Disember 2023.

 

 

Sementara itu, Azhar ketika berucap memberitahu bahawa konsep reka bentuk melengkung yang memberikan elemen minimalis serta kesan visual lebih menarik kepada penduduk di Seberang Perai.

 

 

“Lengkung Perai menunjukkan kesinambungan tempat dari Seberang Perai Utara ke Seberang Perai Selatan dan begitu juga sebaliknya.

 

 

“Selain itu terdapat replika berbentuk Jambatan Pulau Pinang yang menjadi mercu tanda bagi pengunjung ke Pulau Pinang yang mana ia menghubungkan Seberang Perai dengan pulau.

 

 

“Antara ciri istimewa pintu gerbang ini juga adalah penggunaan solar yang berfungsi untuk memberi bekalan elektrik pada lampu LED dan logo-logo di waktu malam.

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD