GEORGE TOWN – Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP) yang dikemukakan Kerajaan Negeri hari ini demi menangani masalah kesesakan trafik sehingga tahun 2050 bukanlah sesuatu yang baharu, kata Datuk Jahara Hamid.
Menurut Ketua Pembangkang Pulau Pinang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar itu, Kerajaan Negeri era Barisan Nasional (BN) dahulupun pernah mengemukakan pelan seumpama itu.
“Pelan Induk Pengangkutan (PIP) telah dilakukan semasa era BN lagi…ini bukanlah sesuatu yang baharu kerana Pulau Pinang berdepan dengan masalah pengangkutan semenjak 10 tahun lalu lagi.
“Kita (pembangkang Pulau Pinang) akan meneliti dengan lebih lanjut tentang cadangan projek ini dan kita akan memberi penerangan kepada pemimpin-pemimpin tempatan kita di kawasan yang terlibat (dengan PIP).
“Apapun, kita (pembangkang) nak pastikan Pulau Pinang akan terus maju, dan rakyat tidak akan mendapat impak yang negatif daripada pembangunan ini,” katanya selepas selesai Sesi Taklimat Pelaksanaan PIP kepada ADUN-ADUN dan Ahli-ahli Parlimen (MP) Pembangkang Negeri Pulau Pinang di sini baru-baru ini.
Hadir sama, ADUN Bertam, Shariful Azhar Othman, Muhamad Yusoff Mohd. Noor (ADUN Sungai Dua) dan Datuk Shah Headan Ayoob Hussain (ADUN Teluk Bahang).
Majlis itu dikendalikan oleh Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow dan Pengarah Projek PIP dari Konsortium SRS selaku rakan pelaksana projek (PDP), Szeto Wai Long.