Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
GEORGE TOWN – Selaras dengan misi Kerajaan Negeri untuk meningkatkan tahap kepenggunaan pengangkutan awam kepada 40 peratus menjelang tahun 2030, aplikasi mudah alih (mobile apps), Penang Intelligent Traffic and Transport System (PiTTs) telah diperkenalkan di sini baru-baru ini.
Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, aplikasi tersebut adalah bagi membantu pengguna merancang perjalanan masing-masing khasnya warga Pulau Pinang dan para pelawat yang mengadakan lawatan ke negeri ini.
“Buat masa kini, pelaksanaan fasa pertama PiTTs adalah merangkumi empat komponen utama iaitu, Where’s My Bus, Aduan Trafik dan Pengangkutan Awam, Navigasi Berbantu serta Berita dan Aturcara.
“Inisiatif ini adalah sebagaimana yang terkandung dalam pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP),” ujarnya pada Majlis Pelancaran Aplikasi Pintar ‘Mobile Apps’ PiTTs di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Kerajaan Tempatan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, K. Vishanthini, Pengurus Operasi RapidPenang Sdn. Bhd. (Rapid Penang), Yusri Hushairi dan Pengurus Sommet Technology, Misnun Alias.
Mengulas lanjut mengenai perancangan masa hadapan aplikasi berkaitan, Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri mempunyai perancangan dan berhasrat untuk melanjutkan perkhidmatan PiTTs ke kawasan Seberang Perai kelak.
“Sebagai permulaan perkhidmatan, aplikasi ini hanya merangkumi kawasan pulau sahaja.
“Walau bagaimanapun, kita (Kerajaan Negeri) mempunyai perancangan untuk melanjutkan ia ke sana (Seberang Perai), meliputi perkhidmatan bas dan mengintegrasikan semua maklumat ini dengan mod pengangkutan awam lain seperti feri dan teksi.
“Untuk jangka panjang, integrasi turut akan melibatkan sistem LRT, monorel dan trem di dalam pelaksanaan PIP,” jelas beliau.
Aplikasi tersebut boleh dimuat turun melalui laman sesawang, www.pitts. penang.gov.my atau melalui Google Playstore secara percuma.
var d=document;var s=d.createElement(‘script’);