PKAYIPP, Emerix Malaysia jalin kerjasama tingkat kebajikan anak-anak yatim

Admin
whatsapp image 2025 03 12 at 15.23.43

GEORGE TOWN – Persekutuan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Pulau Pinang (PKAYIPP) dan syarikat berpangkalan di Korea Selatan, Emerix Malaysia Sdn. Bhd. akan menjalinkan kerjasama untuk meningkatkan kebajikan anak-anak yatim di negeri ini.

Yang Dipertua PKAYIPP, Mohd. Yusoff Latiff berkata kerjasama yang terjalin di antara kedua pihak adalah menrusi pemberian sumbangan yang diperlukan oleh pihak persatuan dalam menjaga kebajikan anak-anak yatim.

“Sumbangan berupa mesin basuh dan duit raya ini merupakan inisiatif derma pertama daripada Emerix Malaysia kepada Wisma Yatim di Pulau Pinang.

 

whatsapp image 2025 03 12 at 15.23.44

 

William Lee (kiri) bersama Mohd. Yusoff Latiff (kanan) memberikan duit raya kepada anak – anak yatim.

 

“Ia adalah satu usaha murni yang boleh dianggap sebagai amal jariah dan sangat bermakna buat seluruh warga PKAYIPP.

“Pada kesempatan ini, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak syarikat atas sumbangan yang disalurkan,” katanya semasa berucap pada program pemberian sumbangan kepada rumah anak-anak yatim dekat sini pada 7 Mac lalu.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Emerix Malaysia Sdn. Bhd., William Lee dan wakil syarikat berkaitan.

Sementara itu, William Lee berkata bahawa yang diberikan adalah sebagai tanda keprihatinan syarikat itu terhadap kebajikan anak-anak yatim selaras dengan slogan “Menghulur Harapan, Kecapi Kebahagiaan”.

“Kami sentiasa komited untuk terus menyantuni dan memberi perhatian kepada anak-anak yatim agar mereka tidak berasa terpinggir.

“Pada masa sama, kami berharap agar anak-anak yatim ini terus berjaya pada masa hadapan dan menjadi insan yang cemerlang,” katanya.

William Lee berkata, syarikat tersebut juga merancang untuk menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) dengan PKAYIPP pada masa akan datang.

“MoU ini adalah bagi membolehkan sebahagian daripada keuntungan syarikat disalurkan kembali menerusi PKAYIPP untuk membantu ganak-anak yatim sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihak kami.

“Selain itu, ia juga bertujuan memastikan sokongan berterusan daripada pihak syarikat kepada anak-anak yatim, bukan sahaja dalam bentuk kewangan tetapi juga dari aspek lain yang boleh membantu meningkatkan taraf kehidupan mereka,” katanya.

Oleh : NUR BATRISYIA IDRUS
Gambar : LAW SUUN TING