PKBM Pulau Pinang hasrat eratkan lagi hubungan sedia ada dengan Kerajaan Negeri

GEORGE TOWN – Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) Pulau Pinang hari ini mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sebagai inisiatif mengeratkan lagi hubungan sedia ada dengan Kerajaan Negeri khasnya.

Pertemuan yang berlangsung hampir satu jam itu diketuai oleh Yang di-Pertua (YDP) PKBM Pulau Pinang, Datuk Izham Omar Merican merangkap Timbalan Presiden PKBM.

Delegasi seramai 11 individu berkaitan mengetengahkan beberapa idea penambahbaikan sistem cabutan undi bagi kerja-kerja tender dan pembahagian tender dalam menjamin kesaksamaan kepada semua ahli yang bernaung di bawah PKBM.

Pada kesempatan sama, Izham turut memohon supaya pihaknya diperkenalkan kepada barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerajaan Negeri agar memudahkan kerja-kerja segera seperti kesan bencana alam serta sebagainya.

Hadir sama, Timbalan YDP PKBM Pulau Pinang, Jalil Hassan; Naib YDP PKBM Pulau Pinang, Mohd. Baqir Habib; Pengerusi Biro Wanita, Rozinah Hassan dan Ahli-ahli Jawatankuasa PKBM Pulau Pinang.

Kon Yeow dalam reaksinya menyatakan bahawa beliau akan mengambil maklum tentang perkara yang dibangkitkan agar situasi terbaik dapat diwujudkan antara Kerajaan Negeri dengan kontraktor-kontraktor Bumiputera Pulau Pinang.

Difahamkan melalui PKBM, persatuan tersebut menaungi kontraktor-kontraktor Bumiputera dari kelas G1 (F) sehingga kelas G7 (A).

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING