DATUK KERAMAT – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo pagi ini mengagihkan 500 pek bekalan makanan kepada anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini.
Bercakap kepada pemberita, beliau menzahirkan rasa terkejut dengan angka 4,029 kes baharu positif COVID-19 yang direkodkan semalam (16 Januari 2020) di seluruh negara.
Pun begitu, beliau menzahirkan rasa gembira apabila hasil pemeriksaan hampir 600,000 premis oleh anggota Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) semalam, mendapati tahap pematuhan penduduk lokal pada prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah 99.75 peratus.
Menurutnya, hasil pemeriksaaan anggota Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di lebih 782,000 premis semalam, mendapati tahap pematuhan SOP PKP adalah 99.38 peratus.
“Tak terbayang saya akan melihat lebih 4,000 kes baharu semalam.
“Tetapi apa yang paling penting, kita (warga Pulau Pinang) perlu tegas dan patuh SOP (PKP).
“Kita (Pihak Berkuasa Negeri) sama sekali tidak akan bertolak ansur dalam aspek keselamatan sosial dan kesihatan awam,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, sebagai dipetik berkata menerusi siaran langsung di Facebook pada 10:10 pagi tadi.
Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer; Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong; serta wakil anggota barisan utama bagi kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) turut sertai program berkaitan.
Mengulas lanjut Jagdeep memberitahu bahawa bagi pelaksanaan semula PKP kali ini, seramai 1,142 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk 350 keanggotaan di Daerah Timur Laut diturunkan untuk kerja-kerja pemantauan SOP sertai sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negeri ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Jagdeep turut mengulas mengenai pengumuman Perdana Menteri untuk membekalkan 100,000 vaksin COVID-19 kepada rakyat Malaysia, yang dijangka dibawa masuk ke negara ini pada hujung suku pertama tahun 2021 (1Q21).
Beliau berkata Kerajaan Negeri berharap perbekalan vaksin tersebut dapat disegerakan lagi.
Sementara itu, Soffian berkata pihaknya mengaku terdapat rungutan awam mengenai SJR di 11 lokaliti sekitar Daerah Timur Laut telah mengakibatkan trafik begitu sesak pada waktu puncak pagi dan petang.
“Sekatan trafik di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu dan lebuh raya Batu Uban, memang kita seringkali menerima rungutan orang ramai seperti berlakunya kesesakan yang mengakibatkan kelewatan mereka (orang awam) ke tempat kerja, jadi, saya nak minta orang awam supaya terus tabah dengan keadaan ini.
“PDRM selaku anggota barisan hadapan yang menerajui pelaksanan SOP PKP di negeri Pulau Pinang ingin menyeru orang ramai untuk bersama-sama membasmi penularan pandemik COVID-19 ini.
“Oleh yang demikian, kita (IPD Timur Laut) akan terus bekerjasama dengan pihak Kerajaan Negeri dan juga PBT untuk memastikan pematuhan SOP di kawasan-kawasan tumpuan orang ramai ini terus pada tahap yang terbaik,” ujarnya sambil mengingatkan bahawa kompaun RM1,000 akan dikeluarkan kepada mereka yang didapati tidak mematuhi SOP PKP.
Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB