PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 (lockdown) yang diumumkan Kerajaan Persekutuan sejak 1 Jun lalu bakal tamat pada 14 Jun ini.
Walau bagaimanapun, kes baru jangkitan COVID-19 dilihat masih tidak menunjukkan penurunan yang ketara meskipun pelaksanaan PKP 3.0 ‘lockdown’ telah memasuki hari ke-11 pada hari ini.
Justeru, Buletin Mutiara berkesempatan menemubual beberapa orang awam untuk mendapatkan pandangan sama ada PKP 3.0 ‘lockdown’ wajar ditamatkan atau dilanjutkan lagi untuk satu tempoh tertentu.
HARJIT SINGH, juruaudit dalaman ketika ditemui berkata bahawa PKP 3.0 wajar disambung dan diperketatkan lagi berbanding pelaksanaan sedia ada kini yang disifatkannya sebagai “PKP separuh masak”.
“Secara peribadi, saya berpendapat bahawa kerajaan perlu melanjutkan lagi perintah kawalan pergerakan dengan pelaksanaan yang lebih ketat.
“Sekarang ini, kita lihat bahawa semua sektor industri masih lagi beroperasi seperti biasa, sedangkan kebanyakan kluster yang dikesan adalah datangnya dari sektor perkilangan.
“Saya tidak membantah kilang-kilang ini beroperasi, tetapi operasi tersebut harus dihentikan seketika mulai sekarang.
“Adalah lebih baik membiarkan rakyat menderita sekali sahaja daripada terus mengenakan sekatan pergerakan yang berpanjangan,” ujarnya.
ABDUL WAHAB ADZMI, pengurus acara, pula berpendapat bahawa PKP 3.0 wajar disambung sekurang-kurangnya dua minggu lagi untuk menurunkan jumlah kes baru jangkitan COVID-19 di negara ini.
Malah, katanya PKP yang sedia ada kini wajar diperketatkan lagi dengan semua sektor ekonomi yang bukan dalam kategori penting ditutup sepenuhnya.
“Langkah ini penting untuk memastikan negara kita dan negeri Pulau Pinang dapat bebas daripada pandemik COVID-19.
“Sekiranya PKP 3.0 ini ditamatkan, kes pasti melonjak semula kerana jumlah kes baru yang ada kini masih tinggi selain terdapat banyak kluster baru yang dikesan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” ujarnya ketika ditemui dekat Telok Air Tawar.
Nada yang sama diutarakan oleh IMRAN HILMY TAWFIK HILMY, wartawan, yang menyatakan bahawa rakyat semestinya mahukan PKP 3.0 ‘lockdown’ dilanjutkan memandangkan kes jangkitan baru COVID-19 masih belum menunjukkan penurunan yang ketara.
“Kita mungkin melihat terdapat sedikit penambahbaikan dalam beberapa hari terakhir ini, tetapi kita tidak boleh mudah berasa selesa dan menganggap ia suatu perkara yang biasa.
“Tidak kira sama ada PKP dilaksanakan secara berfasa atau tidak, keputusan yang dibuat mestilah berdasarkan fakta dan angka.
“Kita perlu pastikan bahawa kadar kebolehjangkitan diturunkan ke tahap paling rendah sebelum membuka semula beberapa sektor ekonomi,” jelasnya.
Dalam pada itu, CHUAH ENG WEI, penghantar minuman, berharap agar kerajaan dapat meneruskan pelaksanaan PKP tetapi secara bersasar dan bukannya menyeluruh seperti sedia ada kini.
Katanya, langkah tersebut dapat membantu menyeimbangkan antara kesihatan awam dan kelangsungan ekonomi rakyat.
“Setakat ini, kes COVID-19 di Pulau Pinang masih menunjukkan peningkatan tetapi saya berharap agar pihak berkuasa dapat mengenakan PKP ketat di kawasan tertentu sahaja dengan mengambil kira jumlah kes yang tinggi dan bukannya secara menyeluruh seperti sekarang.
“Sekiranya kerajaan memutuskan untuk meneruskan PKP ‘lockdown’, kehidupan kebanyakan rakyat pasti akan terjejas.
“Kes bunuh diri juga mungkin akan meningkat kerana kebanyakan rakyat kini sudah tidak mampu menangani tekanan akibat kehilangan sumber pendapatan.
“Oleh itu, saya berharap agar kerajaan dapat mempertimbangkan aspek ini,” ulasnya.
Pekerja swasta yang hanya mahu dikenali sebagai MOHD. FIRDAUS berharap agar kerajaan akan melanjutkan tempoh PKP ‘lockdown’ dengan pelaksanaan lebih ketat sebagaimana PKP 1.0 pada Mac 2020.
“Sekarang ini, kita dapat lihat sebahagian besar sektor perkilangan dan aktiviti perniagaan masih dibenarkan beroperasi seperti biasa.
“Kerajaan sepatutnya membenarkan sektor ekonomi dan perkhidmatan penting sahaja yang dibuka atau kita terpaksa menerima hakikat bahawa pandemik COVID-19 tidak dapat lagi dibendung,” tegasnya.
Sebagai seorang peniaga, ROSMIZAN MURAD, berharap agar pelaksanaan PKP tidak dipanjangkan lagi kerana akan menjejaskan pendapatan peniaga-peniaga kecil.
Katanya, kebanyakan peniaga kini terpaksa bertahan dengan sumber kewangan yang terhad dan dibimbangi perniagaan terpaksa ditutup sekiranya PKP berlanjutan lebih lama.
“Kami peniaga kecil tidak mampu bertahan lama dengan keadaan pelanggan yang kurang tetapi sewa premis kedai tetap perlu dibayar.
“Justeru, kami berharap kerajaan dapat mencari penyelesaian terbaik untuk menangani kes jangkitan COVID-19 dan pada masa sama memastikan peniaga-peniaga kecil dapat meneruskan perniagaan,” katanya lagi.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI