PKP: Gelandangan, kutu rayau ditempatkan di Kompleks Masyarakat Penyayang

GEORGE TOWN – Kumpulan gelandangan dan kutu rayau yang sering ‘berteduh’ menghilangkan lelah di sekitar kawasan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) kini ditempatkan di Dewan CAT, Kompleks Masyarakat Penyayang dekat Jalan Utama. 

 

Tinjauan Skuad Buletin Mutiara pagi ini mendapati bahawa 20 individu yang ditempatkan di sini kelihatan selesa dan lebih terurus. 

 

Malah, kami berkesempatan bertemu dengan Pesuruhjaya Buddhists Tzu Chi Merits Society Malaysia (Tzu Chi), Khoo Boo Leong, yang mengawal selia segala keperluan kumpulan tersebut di sini sejak semalam. 

 

Menurut Boo Leong, hanya mereka yang melepasi saringan pemeriksaan kesihatan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dibenarkan untuk berada di pusat pemindahan sementara di sini. 

 

KOMPLEKS Masyarakat Penyayang yang terletak di Jalan Utama dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara bagi golongan gelandangan dan kutu rayau sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

“Daripada 72 orang yang ‘ditangkap’ dan disaring dalam operasi pemindahan semalam, hanya 17 lelaki dan 3 wanita dibawa ke sini (Kompleks Masyarakat Penyayang).

 

“Sebilangannya telah diarahkan pulang ke pangkuan keluarga masing-masing dan ada yang dibawa ke hospital untuk rawatan,” ujarnya ketika ditemui di sini tadi. 

 

Mengulas lanjut, Boo Leong menyatakan bahawa setiap daripada mereka yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara berkaitan telah menerima kelengkapan pembersihan diri seperti tuala mandi, berus gigi, sabun mandi, sabun pencuci tangan (hand sanitizer), syampu dan sebagainya. Malah, mereka turut diajar cara membasuh tangan dan membersihkan diri yang betul pagi ini. 

 

KHOO Boo Leong menunjukkan makanan tengah hari yang disediakan kepada kumpulan gelandangan dan kutu rayau di pusat pemindahan sementara di sini.

“Di sini, makanan berasaskan sayur (vegetarian food) disediakan tiga kali sehari selain menyediakan air minuman yang bersih dan pihak kami sedang berusaha untuk mendapatkan standing water dispenser demi kemudahan ‘penghuni’. 

 

“Setiap gelandangan dan kutu rayau yang ditempatkan di sini diselia sepenuh masa dan mereka tidak dibenarkan meninggalkan premis ini sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir,” katanya yang turut membawa Skuad Buletin Mutiara meninjau keadaan gelandangan serta kutu rayau yang ditempatkan di sini.

 

Sebanyak 66 katil disediakan di sini dengan jarak antara katil adalah lima kaki. 

 

SETIAP katil dijarakkan sejauh lima kaki mengikut saranan arahan Perintah Kawalan Pergerakan.

Kerja-kerja pembersihan dan nyah kuman dewan juga akan dilakukan setiap dua atau tiga hari sekali bagi memastikan tahap kebersihan yang tinggi sentiasa terjaga. 

 

Semalam, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh yang turut meninjau proses pemindahan memberitahu bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat prihatin dan mengambil inisiatif memindahkan kumpulan gelandangan serta kutu rayau ke pusat pemindahan sementara di Kompleks Masyarakat Penyayang sebagai sebahagian usaha pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan melindungi golongan berkaitan daripada dijangkiti COVID-19. 

 

SUKARELAWAN Tzu Chi membantu salah seorang gelandangan menguruskan pakaian harian.

Proses pemindahan dilaksanakan secara usahasama bersama-sama Jabatan Kebajikan Masyarakat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan badan bukan kerajaan (NGO), Tzu Chi.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar & Video : CHAN KOK KUAN