PKP, tindakan tegas terhadap pihak ingkar

Admin

GEORGE TOWN – Rakyat Pulau Pinang digesa untuk patuh kepada arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengelak dikenakan tindakan lebih tegas oleh pihak berkuasa berkaitan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa pihak berkuasa iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan pihak-pihak berkaitan akan mengambil tindakan lebih tegas berhubung penguatkuasaan PKP di Pulau Pinang mulai sekarang.

“Sebagai makluman, sehingga semalam (28 Mac 2020), PDRM telah menahan 158 orang awam yang ingkar akan PKP di Pulau Pinang.

“Manakala, pihak MBPP juga telah mengarahkan penutupan bahagian pasar Kompleks Sri Aman dekat Relau ekoran gagal mengamalkan jarak sosial dan beberapa kesalahan lain.

“Serentak itu, semua pengusaha gerai di luar kawasan Pasar Jelutong juga telah diarahkan untuk memberhentikan perniagaan mereka mulai esok, 30 Mac 2020.

“Pihak berkuasa termasuk polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang masih berdegil, ini adalah demi keselamatan semua pihak di negeri ini,” tegasnya pada ucapan siaran langsung menerusi laman Facebook peribadi beliau pada hari ke-12 di sini sebentar tadi.

Sebagai rekod, sehingga semalam (28 Mac 2020), Pulau Pinang mencatatkan peningkatan enam kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 86 kes.

Dalam perkembangan sama, Kon Yeow turut menyeru penumpang-penumpang penerbangan Qatar Airways QR866 dan bas ekspress StarMart Express AJS6666 untuk tampil dan mengikut arahan pihak Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP).

“Saya menyeru kepada para penumpang penerbangan dan bas berkenaan supaya mengikut arahan, hubungi JKNPP dengan kadar segera kerana ini bukan perkara yang wajar diperlekehkan,” serunya.

Pada sidang media sama, sebagai menjawab soalan bertulis pemberita berhubung penyediaan saluran rasmi kepada penduduk bagi mengumumkan lokaliti kes-kes positif COVID-19 di Pulau Pinang, Kon Yeow dalam responsnya berkata bahawa semua perincian kes adalah merujuk kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kerajaan Negeri sentiasa bekerjasama rapat dengan JKNPP dalam menangani krisis ini, dan semua perincian adalah diperoleh daripada pihak KKM… pada peringkat ini kita menunggu sebarang perkembangan dan akan salurkan jika memperoleh maklumat berkaitan,” jelasnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar dan video : ALVIE CHENG