PKPB, Pulau Pinang laksana secara berperingkat mulai 8 Mei

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang memutuskan untuk melaksanakan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) secara berperingkat mulai 8 Mei ini.

Justeru, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menegaskan bahawa arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedia ada masih lagi berkuat kuasa seperti biasa di negeri ini pada hari esok (4 Mei 2020).

Beliau berkata, keputusan itu dibuat adalah berpandukan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta keputusan dipersetujui oleh ahli-ahli mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) yang berlangsung pagi tadi.

“Kerajaan Negeri memutuskan untuk melaksanakan ‘Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang’ berlandaskan penyesuaian serta pengubahsuaian perlu bagi memastikan kesihatan dan keselamatan rakyat di negeri ini serta kelangsungan sektor ekonomi negeri terjamin.

“Dalam kata lain, hanya sektor yang dibenarkan beroperasi dan berkerja pada Fasa 1, 2 dan 3 PKP sahaja dibenarkan untuk meneruskan pergerakan masing-masing tanpa sebarang perubahan termasuk syarikat pengangkutan awam.

“Bagi sektor yang tidak tersenarai dalam PKP Fasa 1, 2 dan 3 pula, penguatkuasaan serta pengoperasian berasaskan ‘Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang’ adalah bermula pada Jumaat ini iaitu 8 Mei 2020.

“Langkah ini bagi membolehkan Kerajaan Negeri menyediakan garis panduan menyeluruh yang lebih tersusun khususnya pada aspek penguatkuasaan selain memberi ruang kepada pihak-pihak berkaitan untuk merancang pengoperasian serta pergerakan masing-masing dalam tempoh empat hari ini.

“Ini termasuk penyediaan kelengkapan seperti pensanitasi tangan, penjarakan sosial, peraturan pemakaian pelitup muka dan sebagainya demi keselamatan bersama di premis-premis seliaan masing-masing,” ujar Kon Yeow ketika ucapan siaran langsung menerusi laman Facebook peribadi beliau dekat Komtar sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menjelaskan bahawa pelaksanaan ‘Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang’ adalah bermatlamat untuk mencegah kesesakan, membiasakan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diperkenalkan MKN serta pembukaan dan pemulihan sektor ekonomi secara berfasa.

“Oleh itu, pada 4 hingga 7 Mei diputuskan sebagai fasa persiapan (Fasa 1) yang mana semua sektor digalakkan menggunakan tempoh ini untuk merancang, menyediakan dan melaksanakan SOP bagi pelaksanaan di tempat masing-masing.

“Seterusnya, pada 8 hingga 12 Mei pula merupakan fasa pembiasaan (Fasa 2) iaitu sektor yang dibenarkan perlu melaksanakan SOP dengan tegas, dan fasa terakhir adalah bermula 13 Mei iaitu fasa pembukaan (Fasa 3) yang mana semua sektor dibenarkan beroperasi tetapi perlu mematuhi SOP dengan tegas,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan rakyat di negeri bahawa tempoh pelaksanaan PKP masih belum tamat sehingga 12 Mei ini.

“Justeru, semua aktiviti luar rumah selain pekerjaan yang dibenarkan adalah dilarang.

“Semua sektor hanya dibenarkan untuk beroperasi sepenuhnya dalam Fasa 3 (mulai 13 Mei) dan perlu mematuhi SOP dengan tegas,” ulasnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFD
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI