PKPB: Sedia disaman demi lindungi nyawa 1.8 juta penduduk negeri, Kon Yeow respons Azmin

Admin

GEORGE TOWN – Demi melindungi nyawa 1.8 juta penduduk Pulau Pinang, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow tengah hari tadi berkata bahawa beliau serta Kerajaan Negeri di bawah pentadbirannya bersedia menghadapi risiko disaman kerana tidak membuka semula aktiviti ekonomi di negeri ini bermula semalam.

Ketegasan itu adalah sebagai respons kepada kenyataan Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang memperingatkan mana-mana Kerajaan Negeri ingkar pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula pada 4 Mei, boleh dikenakan tindakan saman daripada pihak industri yang terjejas.

Menurut Kon Yeow, Kerajaan Negeri pada dua hari lepas telahpun mengumumkan Pulau Pinang akan melaksanakan PKPB secara berperingkat mulai 8 Mei 2020.

“Saya nak tanya kepada Menteri Kanan (Azmin) apa yang beliau harapkan sebagai menteri yang menjaga (ekonomi) apabila beliau malas untuk saling berbincang dengan semua Kerajaan Negeri bagi mendapatkan persetujuan sebaik mungkin untuk pelaksanaan (PKPB ini).

“Kerajaan Negeri bersedia untuk disaman demi melindungi nyawa 1.8 juta penduduk Pulau Pinang, pada masa sama Kerajaan Negeri bersedia untuk untuk memulakan (operasi sektor) ekonomi di bawah PKPB).

“Saya harap Menteri Kanan tidak perlulah menakut-nakutkan Kerajaan Negeri, tetapi hormati kami (Pulau Pinang) sebagai rakan strategik (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, MITI) demi meletakkan negara ini di landasan pemulihan ekonomi yang sebenar.

“Jadi, Azmin Ali, putuskanlah sama ada nak saling bekerjasama dengan kami (atau sebaliknya),” tegasnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri (JKKN) dalam Siaran Facebook Live di Komtar pada 5 Mei 2020.

Selain itu, Kon Yeow menyatakan bahawa pelaksanaan PKBP adalah dianggap tergesa-gesa, sehingga memaksa JKKN Pulau Pinang mengadakan mesyuarat tergempar selama tiga kali, kerana prosedur operasi standard (SOP) PKPB yang disediakan kepada Kerajaan-kerajaan Negeri dilihat masih berubah-ubah dan tidak siap sepenuhnya.

“Saya ingin mengulangi pendirian bahawa kami tidak pernah membantah inisiatif untuk membuka semula ekonomi di bawah PKPB.

“Apabila Perdana Menteri membuat pengumuman pada 1 Mei lalu, saya segera memberi respons melalui kenyataan media yang menyambut baik keputusan tersebut, dan berjanji bahawa Pulau Pinang akan memberikan kerjasama agar usaha untuk memulakan semula ekonomi berjaya dilaksanakan.

“Kami (JKKN Pulau Pinang) akhirnya hanya dapat bermesyuarat pada hari Ahad pagi, 3 Mei setelah kami menerima sebahagian besar SOP, walaupun bukan semuanya,” jelasnya lagi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah dan Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi turut membentangkan sekali lagi cadangan rangka pelaksanaan ‘Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang’.

Fasa 1 bermula pada 4 hingga 7 Mei, menurut Kon Yeow adalah fasa persediaan untuk sektor-sektor tambahan yang dibenarkan beroperasi melakukan persiapan pelaksanaan SOP.

“Fasa 2 bermula pada 8 hingga 12 Mei, adalah fasa pembiasaan kepada semua sektor tambahan yang mendapat kebenaran untuk memulakan operasi di bawah PKBP, sementara rakyat secara perlahan-lahan boleh menyesuaikan diri dengan SOP dan norma baru ini.

“Fasa ketiga bermula pada 13 Mei dan seterusnya, adalah pembukaan sektor yang dibenarkan di bawah PKPB pada kapasiti penuh,’’ ulasnya.

Di samping itu, Kon Yeow memberitahu bahawa strategi yang dirangka oleh JKKN tersebut adalah berdasarkan analisis risiko situasi negeri ini, dengan mengambil kira dua faktor utama berikut.

“(Faktor pertama,) Pulau Pinang merupakan negeri berkependudukan paling padat mengikut bancian kebangsaan, justeru merupakan lokasi berisiko tinggi perebakan wabak penyakit.

“Maka, sebarang pelonggaran PKP perlu dilakukan secara beransur-ansur bagi mengelakkan perebakan wabak akibat kesesakan orang ramai.

“(Faktor kedua,) Semua sektor memerlukan masa untuk membuat persiapan mematuhi SOP yang dikeluarkan. Malah ada SOP yang masih lagi diubah selepas dikeluarkan pada 1 Mei, contohnya pengumuman kerajaan pada 4 Mei bahawa pekerja asing dalam sektor pembinaan wajib menjalani ujian saringan COVID-19,” ujarnya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : ALISSA THIAN