PKRC Kompleks Masyarakat Penyayang terima peralatan perubatan dan bukan perubatan, bantu lawan COVID-19

GEORGE TOWN – Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Berisiko Rendah Kompleks Masyarakat Penyayang dekat Jalan Utama menerima pelbagai peralatan perubatan dan bukan perubatan daripada pihak swasta dan individu yang bermurah hati untuk menderma.

 

Peralatan-peralatan tersebut diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) bagi merawat individu dijangkiti COVID-19 di PKRC berkaitan.

Sumbangan disampaikan melalui Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang antara yang turut hadir pada majlis serahan, ketika ditemui, berharap lebih banyak pihak tampil membantu dalam peperangan melawan COVID-19.

 

“Kita (mewakili Kerajaan Negeri) berharap lebih ramai pihak persendirian atau pertubuhan bukan kerajaan tampil bersama-sama dengan kita untuk melawan pandemik COVID-19.

“Pada mulanya dermawan-dermawan ini ingin beri sumbangan makanan dan wang tunai, namun setelah berbincang adalah lebih sesuai sumbangkan peralatan perlu seperti yang diterima JKNPP hari ini mengikut situasi semasa,” katanya di sini pada 20 Ogos 2021.

 

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Oriental Holdings Berhad, Datuk Seri Tan Hui Jing berkata, pihaknya memberi sumbangan sebanyak RM5 juta di seluruh negara khusus bagi melawan pandemik COVID-19.

“Kami sangat mengambil berat dengan situasi semasa yang sangat meruncing ini.

 

“Antara sumbangan yang dibuat adalah defibrillator, jarum suntikan, monitor, peralatan ECG, 20 unit kerusi roda dan pelbagai lagi,” ujarnya kepada Buletin Mutiara.

 

Pada majlis sama, pihak Georgetown Pharmacy turut menyumbang 20 unit kerusi roda kepada PKRC Kompleks Masyarakat Penyayang.

 

Tidak ketinggalan, Persatuan Penganut Dewa Lam Kit Sean Ong yang menderma pelbagai peralatan perubatan dan bukan perubatan bernilai RM34,900.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MUHAMMAD AMIR IRSYAD OMAR