GEORGE TOWN – ‘Plaza Ramadan’ di Landskap A, Prangin Mall dibuka bermula hari ini, 1 April 2022 sehingga 2 Mei 2022.
Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain berkata, pembukaan ‘Plaza Ramadan’ ini adalah hasil inisiatif dan kerjasama antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang, pusat membeli-belah Prangin Mall dan Penang Halal International (PHI).
Plaza ini bertujuan membantu menjana semula ekonomi para peniaga kecil yang terkesan akibat pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak dua tahun lalu.
“Kebanyakan peniaga ini terlibat dalam penyediaan makanan, minuman, penjualan pakaian dan barangan keperluan menyambut bulan Ramadan serta Syawal.
“Selain memeriahkan suasana di sekitar George Town ketika menyambut bulan Ramadan dan Syawal ini, diharap penganjuran ‘Plaza Ramadan’ ini akan membantu para peniaga terlibat,” ujarnya ketika hadir menyempurnakan Majlis Pelancaran Plaza Ramadan di Atrium A, Prangin Mall pada petang 1 April 2022.
Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar; Ketua Pegawai Eksekutif Penang Halal International (PHI); Fazil Irwan Som; Ahli Jawatankuasa Badan Pengurusan Bersama Prangin Mall, Edwin Tan dan Setiausaha Bandaraya bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ir. A. Rajendran.
Dalam pada itu, Lai Heng ketika berucap pada majlis sama memaklumkan bahawa penganjuran bazar Ramadan merupakan tradisi yang dinanti-nantikan oleh semua.
Tidak kira (latar belakang) bangsa dan kaum, bazar Ramadan menjadi medan untuk mengeratkan silaturahim di samping dapat menikmati juadah enak yang hanya boleh ditemui ketika bulan Ramadan sahaja.
“Saya percaya, penganjuran ‘Plaza Ramadan’ ini akan memberi peluang kepada penjawat awam di Komtar dan kawasan sekitar untuk membeli juadah berbuka puasa sebelum pulang ke rumah sepanjang bulan Ramadan nanti,” katanya.
Sementara itu, Edwin Tan ketika ditemui menjelaskan bahawa pihaknya telah merancang pelbagai program bagi memeriahkan lagi sambutan bulan Ramadan.
“Antaranya persembahan lagu raya, pertunjukan kompang, persembahan gamelan, bengkel menganyam ketupat, mencanting batik, membuat sabun, origami dan lain-lain lagi.
“Walau bagaimanapun, pihak kami akan memastikan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) diberi keutamaan termasuk di kawasan ‘Plaza Ramadan’ bagi menjamin kebersihan dan kualiti makanan sentiasa dijaga,” jelasnya.
Difahamkan, terdapat kira-kira 80 gerai jualan yang mengambil bahagian dalam penganjuran ‘Plaza Ramadan’ terbesar di kawasan George Town ini.
Sejajar dengan pematuhan SOP, penggunaan aplikasi digital turut diguna pakai yang mana pengguna boleh membuat tempahan makanan melalui platform Foodpanda atau membuat pembayaran tanpa tunai menggunakan aplikasi Maybank.
Selain itu, Prangin Mall bersama-sama The TOP Penang, pusat membeli-belah 1st Avenue, Komtar, ICT Mall dan Tech Dome Penang yang terlibat dalam Projek George Town City Center (GTCC) mengadakan tawaran membeli buah kurma pada harga terendah, RM8.90. Pelanggan hanya perlu berbelanja RM60 dan ke atas dalam satu resit di salah satu pusat membeli-belah yang mengambil bahagian, bawa ke Kaunter Informasi Prangin Mall dan layak menikmati promosi harga terendah selain menerima sampul raya percuma.
Gambar : ALISSALA THIAN