SUNGAI BAKAP – Kerajaan Perpaduan Malaysia bakal menyalurkan RM7 juta daripada RM20 juta anggaran keseluruhan kos projek pembangunan sebuah masjid baharu di atas tapak asal Masjid Lama Sungai Bakap.
Semasa berucap, Perdana Menteri, Y.A.B. Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim berkata bahawa pentadbirannya akan terus memartabatkan institusi masjid serta kedudukan umat Islam di negara ini, sungguhpun digambarkan seolah-olah tidak mengamalkan ajaran Islam yang sebenar oleh pemimpin pembangkang tertentu.
Kata Menteri Kewangan itu lagi, peruntukan itu mengambil kira jumlah (peruntukan) yang diumumkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta dana sumbangan peringkat kariah setempat.
“(Pemberian peruntukan pembangunan masjid baharu) ini bertepatan dengan prinsip kesejahteraan, keyakinan dan ihsan yang menjadi tonggak pada Malaysia Madani, yang mana tanggungjawab Kerajaan (Persekutuan dan Kerajaan Negeri) dan rakyat sama-sama dihayati serta dilaksanakan demi mencapai kesejahteraan dan kemakmuran bersama,” jelasnya dalam Majlis Peluncuran Pembangunan Masjid Lama Sungai Bakap di sini pada 16 Julai 2023.
Selain itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun, Perak, turut merakamkan penghargaan kepada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak atas perhatian khusus dalam cadangan pembangunan semula Masjid Lama Sungai Bakap berkaitan.
“Saya (Anwar) lahir di Sungai Bakap, TYT (Ahmad Fuzi) juga orang Sungai Bakap, maka, kalau tidak ada sebuah masjid baharu di sini adalah tidak wajar,” seloroh beliau lagi.
Berucap sebelum itu, Ketua Menteri ‘Caretaker’, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyatakan bahawa pembangunan semula Masjid Lama Sungai Bakap merupakan satu daripada tujuh buah masjid yang telah melibatkan peruntukan Kerajaan Negeri hari ini yang keseluruhannya sebanyak RM18 juta.
“Selain Masjid Lama Sungai Bakap, enam masjid lain yang terlibat dalam pelan pembangunan adalah Masjid Papan di Seberang Jaya; Masjid Sungai Lokan dan Masjid Sungai Dua Utama di Butterworth; Masjid Bandar Raya Seberang Perai di Bandar Cassia; Masjid Lama Sungai Kechil di Nibong Tebal serta Masjid Bandar Putra Bertam di Bertam.
“Sejak menerajui pemerintahan negeri ini pada tahun 2008, Kerajaan Negeri optimis dan akan terus komited untuk menyumbang dalam memartabatkan syiar Islam di Pulau Pinang.
“Kerajaan Negeri menyokong penuh cadangan kerja-kerja meroboh dan membina semula masjid lama dan sekolah agama rakyat, Sungai Bakap ini demi manfaat penduduk setempat khususnya anak-anak kariah (Sungai Bakap) dan akan turut menyalurkan peruntukan bagi merealisasikan projek ini,” ujarnya yang Ahli Parlimen Batu Kawan merangkap bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.
Kon Yeow yang juga ‘Caretaker’ Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berharap selepas projek pemajuan masjid baharu tersebut siap, ia boleh menampung sehingga 5,000 ahli kariah dalam satu-satu masa berbanding sekarang (sekitar 700 sahaja).
Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow turut merakamkan penghargaan atas kejayaan mengumpul dana dalam kalangan ahli kariah tempatan sebanyak RM2.0 juta untuk projek pembangunan semula masjid baharu berkenaan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal; ‘Caretaker’ Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd. Sayuthi Bakar; dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Sollehuddin Alyubi Zakaria antara yang hadir dalam majlis berkaitan.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI