PENANTI – Pentadbiran Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di negeri Pulau Pinang memperuntukkan sejumlah RM1.1 juta daripada RM9 juta anggaran kos keseluruhan bagi projek pembinaan Masjid Mengkuang Titi, sementara RM2.5 juta lagi dana pembangunan adalah hasil kutipan ahli kariah tempatan di sini.
Sambil memuji inisiatif kewangan kedua-dua pihak berkenaan, Perdana Menteri, Y.A.B. Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bahawa pentadbirannya akan meluluskan peruntukan Persekutuan berjumlah RM5.4 juta bagi membiayai baki kos projek pembinaan masjid baharu tersebut.
“Maknanya, mendirikan masjid itu serta memakmurkan masjid adalah seruan kepada semua, tanggungjawab Kerajaan Negeri ada, tanggungjawab Kerajaan Persekutuan lebih besar, malah tanggungjawab (peringkat) kariah juga ada.
“Jadi, kita semua ada ‘saham’ dalam pembinaan masjid (yang mana) pembangunan masjid (baharu) itu bukan (daripada sudut) gerung atau keindahan (seni binanya), tetapi pengisian (pengimarahannya),” jelasnya yang juga Menteri Kewangan semasa berucap pada Majlis Peluncuran Projek Pembinaan Masjid Mengkuang Titi di sini pada 14 April 2023.
Di samping itu, Anwar berkata bahawa Islam adalah agama yang membela nasib orang miskin pada peringkat kariah sehingga dalam sejarah awal pembangunan masyarakat terdahulu menyaksikan Khalifah Ar-Rasyidin Saidina Abu Bakar As-Siddiq pernah mengisytiharkan perang ke atas golongan yang tidak membayar zakat demi memelihara kepentingan semua asnaf.
Berucap sebelum itu, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi menyatakan bahawa pentadbirannya melalui Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) bersama-sama Pejabat Pembangunan Negeri Pulau Pinang (Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri, ICU Jabatan Perdana Menteri) akan merealisasikan projek pembangunan masjid dua tingkat di atas tanah berkeluasan 3.2 ekar di sini dalam tempoh dua tahun mulai 2024.
“Dengan reka bentuk bangunan dua tingkat, Masjid Mengkuang Titi dijangka mampu menampung sejumlah 1,500 jemaah pada satu-satu masa.
“Diharapkan, masjid ini akan diimarahkan sebaiknya oleh penduduk setempat dengan program-program keagamaan serta kemasyarakatan yang dapat mengeratkan lagi ukhwah dalam kalangan ahli kariah,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow memberitahu bahawa pentadbirannya dalam tempoh tahun 2022 hingga 2025 merancang pembangunan tujuh masjid iaitu Masjid Papan Seberang Jaya, Masjid Sungai Lokan, Masjid Sungai Dua Utama, Masjid Bandaraya Seberang Perai (dekat Bandar Cassia Batu Kawan), Masjid Lama Sungai Bakap, Masjid Lama Sungai Kechil dan Masjid Bandar Putra Bertam dengan pembiayaan Kerajaan Negeri berjumlah RM18 juta.
Di samping itu, beliau memberitahu bahawa pentadbirannya bagi tahun 2023 meneruskan komitmen dalam memartabatkan agama Islam di negeri ini dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM75.08 juta iaitu peruntukan yang tertinggi berbanding sebelum ini.
“(Keseluruhan berjumlah RM75.08 juta) ini merangkumi pembangunan bagi tujuan pembinaan; pembaikan dan naik taraf masjid; surau dan sekolah agama; bayaran bantuan pendidikan untuk sekolah agama; bayaran guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) dan pegawai masjid; peruntukan mengurus jabatan negeri berkaitan hal ehwal agama Islam; peruntukan bagi pelaksanaan program dan majlis agama serta lain-lain yang berkaitan.
“Kita di Pulau Pinang yakin panduan dan ikhtiar secara bersepadu dan holistik sebagai dasar pentadbiran yang lebih manusiawi Malaysia Madani bakal membina semula ekonomi keseluruhannya, menjamin kesejahteraan insan, mereformasi institusi demokrasi serta perundangan dan seterusnya mewujudkan pentadbiran beramanah,” ulasnya sambil berharap kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat kian erat demi memakmurkan kehidupan rakyat di Pulau Pinang.
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga Yang Dipertua MAINPP; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd. Sayuthi Bakar; Ketua Pengarah ICU JPM, Dato’ Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Mufti Negeri, Sohibus Samahah Dato’ Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor; barisan Ahli Parlimen dan ADUN; Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan serta ahli kariah tempatan turut sertai majlis peluncuran projek pembinaan masjid baharu tersebut.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD