PM puji Pulau Pinang catat bilangan miskin tegar paling rendah negara

ANWAR Ibrahim (tengah) diiringi Chow Kon Yeow (tiga dari kiri) dan barisan pemimpin kerajaan lain semasa acara gimik perasmian Himpunan Usahawan Bumiputera Pulau Pinang 2023 (HUB 2023) di Bertam Resort Kepala Batas di sini pada 5 Ogos 2023.

BRRTAM – Perdana Menteri, Y.A.B. Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim berkata bahawa Pulau Pinang ketika ini mencatatkan jumlah keluarga miskin tegar paling rendah berbanding negeri-negeri lain dalam negara.

ANWAR Ibrahim (kanan) dan Chow Kon Yeow saling berbincang mengenai agenda pembangunan modal insan Pulau Pinang dalam majlis berkaitan di sini tadi.

Justeru, beliau berharap Kerajaan Negeri diterajui Tuan Chow Kon Yeow sejak penggal Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lepas dapat terus menjalinkan kerjasama erat dengan ‘Kerajaan Perpaduan Malaysia’ bagi menoktahkan isu kemiskinan tegar di Pulau Pinang dalam tahun ini juga.

“Sekarang kita (negara) ada 136,000 keluarga miskin tegar, Pulau Pinang merupakan satu-satu negara yang mencatatkan miskin tegar paling rendah di seluruh Malaysia.

“Itu pun, saya berkata kepada Tuan Chow (Kon Yeow), kalau ada 10 keluarga miskin tegar pun, saya nak ditangani dalam tahun ini juga.

“Saya nak isu miskin tegar di negara ini dinoktahkan dalam tahun ini juga,” jelasnya semasa merasmikan Himpunan Usahawan Bumiputera Pulau Pinang 2023 (HUB 2023) di sini pada 5 Ogos 2023.

Turut berucap, Pengerusi Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (MPBPP), Tan Sri Khalid Ramli.

Selain Kon Yeow, hadir sama, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Zuki Ali; ‘Caretaker’ Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP); Timbalan Ketua Setiausaha Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Sollehuddin Alyubi Zakaria dan Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) JPM, Datuk Sri Wan Ahmad Dahalan Abdul Aziz.

BARISAN pemimpin Kerajaan merakamkan gambar kenangan dengan para peserta HUB Pulau Pinang 2023 di sini tadi.

Semasa berucap, Anwar yang juga Menteri Kewangan menyatakan bahawa teras penganjuran HUB 2023 dengan tema ‘Usahawan Madani, Membangun Ekonomi’ bukan sahaja untuk menoktahkan kemiskinan tegar, bahkan merapatkan jurang antara rakyat terkaya dan kelompok berpendapatan 40 peratus paling rendah (B40) di negara ini.

“Apabila saya bercakap mengenai Ekonomi Madani, yang sebelum itu saya bercakap Malaysia Madani, terasnya mesti nilai dan akhlak.

“Mercu tanda hebat bagi negara ini bukan sahaja jambatan terpanjang atau bangunan yang tinggi; yang nak dibangunkan itu adalah manusia, maka Ekonomi Madani ini mesti mempunyai sifat manusiawi.

“Apakah Malaysia ini ada sifat madani (berperadaban), kalau masih ada di negara ini kesenjangan (jurang) antara golongan yang maha kaya dan miskin,” ujarnya.

Seiringan dengan acara pelancaran Pelancaran HUB 2023 pada hari ini, Anwar memberitahu bahawa Inisiatif Pendigitalan Bumiputera Pulau Pinang (BuDI) yang diperkenalkan oleh Kerajaan Persekutuan dengan empat inisiatif berkaitan adalah signifikan bagi membantu usahawan Bumiputera dan Melayu di negeri ini.

Empat inisiatif permulaan secara komprehensif di bawah BuDi itu, menurut Anwar lagi, adalah meliputi e-pembayaran (cashless), e-pemasaran, aplikasi pautan pintar bumiputera dan e-aduan yang akan menjadi pelengkap kepada program MyDigital yang diperkenalkan oleh Kerajaan sebelum ini.

“BuDi Ini adalah sejajar dengan Pelan Pembangunan Usahawan 2023-2030 serta Transformasi Pelancongan Mesra Muslim, seterusnya menjadi platform kepada usahawan untuk sama-sama mengambil peluang berkongsi platform ekonomi yang telah disediakan Kerajaan.

“BuDI ini bukan sahaja dapat menggalakkan usahawan beralih ke platform digital, malah ianya langkah awal dalam membantu peniaga mentransformasikan perniagaan, di samping melonjakkan lagi penggunaan e-pembayaran yang memberi impak secara terus serta menawarkan pelbagai manfaat kepada usahawan dalam tiga aspek iaitu Mudah, Cepat dan Selamat dalam konteks meningkatkan lagi pendapatan mereka secara kaedah hybrid,” ulasnya.

Serentak pada majlis sama, Anwar diiringi Kon Yeow dan barisan pemimpin Kerajaan lain turut menyaksikan acara saling bertukar memorandum persefahaman (MOU) di antara Wakaf Pulau Pinang dan JKP Sdn. Bhd. bagi pembangunan Tanah Wakaf di lokasi strategik terpilih di negeri ini.

Wakaf Pulau Pinang diwakili oleh Ahmad Zakiyuddin sendiri, sementara Khalid mewakili JKP Sdn. Bhd..

Buletin Mutiara difahamkan, Kerajaan Perpaduan Malaysia menerusi Kementerian Kewangan telah menyuntik dana Persekutuan sebanyak RM200 juta untuk tujuan pembangunan Tanah Wakaf secara berfasa dengan menyasarkan limpahan manfaat besar kepada bumiputera Pulau Pinang, di samping meningkatkan pegangan hartanah orang-orang Melayu di negeri ini.

Tegas Anwar, selagi ditaklifkan sebagai Perdana Menteri, beliau mempunyai tanggungjawab untuk menggerakkan agensi Persekutuan berwajib bagi membantu Bumiputera di negeri ini.

“Maka, saya mengambil keputusan untuk meningkatkan semula peranan JKP ini (sebagai agensi pelaksana kepada Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang, MPBPP),” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Tambun, Perak.

 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT
Video : DARWINA MOHD. DAUD