PM umum tender terhad RM1.9 juta baiki struktur bangunan SK To’ Kandu terbakar

Admin
ANWAR Ibrahim (duduk, dua dari kiri) diiringi Ketua Menteri (duduk, tiga dari kiri) dan Mohamad Abdul Hamid (duduk, dua dari kanan) mengikuti taklimat ringkas berhubung insiden kebakaran sebahagian struktur bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) To’ Kandu, di sini pada 1 Oktober 2023.

SEBERANG JAYA – Perdana Menteri, Y.A.B. Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim dengan diiringi Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow mengadakan lawatan khas ke Sekolah Kebangsaan (SK) To’ Kandu, Permatang Pauh di sini sebentar tadi.

Lawatan berkaitan adalah untuk melihat sendiri sebahagian lima bilik darjah yang musnah terbakar dalam kejadian pada 22 September lalu.

ANWAR Ibrahim

Selepas mendengar taklimat berwajib, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengarahkan tender terhad dengan anggaran kos awal RM1.9 juta disegerakan bagi projek membaik pulih bahagian bangunan yang terbakar itu.

“Saya beritahu Guru Besar (Sazilawati Omar) tadi, kalau JKR (Jabatan Kerja Raya) Pusat boleh siap laporan pada minggu depan, minggu depan kita (Kerajaan Persekutuan) akan mula (tender terhad).

“Ini kerana, Kerajaan (Madani Malaysia) sekarang ini dia cekap dan cepat,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen BukitTambun, Perak.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid yang juga Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat dan Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol merupakan antara pemimpin Kerajaan Negeri yang hadir.

Sebelum itu, kunjungan Anwar tiba di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Permatang Pauh dan disambut Kon Yeow serta barisan kepimpinan Kerajaan Negeri lain.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT
Video : ALISSALA THIAN