GEORGE TOWN – Permodalan Nasional Berhad (PNB) mensasarkan lebih 150,000 pengunjung pada Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2023 yang bakal bermula pada 30 September hingga 8 Oktober ini di Setia Fontaines, Bertam.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Strategi PNB, Fadzihan Abbas Mohamed Ramlee pada sesi kunjungan hormat bertemu Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di Komtar.
Menurut Fadzihan Abbas, acara literasi kewangan tahunan tersebut adalah bertujuan meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan masyarakat umum kini.
“Program ini adalah acara induk PNB sejak tahun 2000 dan buat julung kali, tahun ini diadakan secara hibrid selama sembilan hari,” ujarnya ketika membentangkan aturcara penganjuran MSAM 2023 di sini.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif yang juga Pengarah Eksekutif PNB, Muzzaffar Othman menzahirkan penghargaan kepada Kon Yeow dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang sentiasa memberi sokongan dalam penganjuran MSAM 2023.
Setiausaha Sulit Kanan, Muhamad Azrai Mohamad Zaini antara yang turut serta dalam sesi pembentangan berkaitan di sini.
Bertemakan ‘Bijak Melabur, Santai Berhibur’, MSAM 2023 juga menyediakan pelbagai aktiviti interaktif dan pendidikan yang disertai oleh syarikat Kumpulan PNB, ejen Amanah Saham Nasional Berhad, badan kawal selia dan agensi kerajaan negeri.
Selain itu, pengunjung yang hadir ke MSAM 2023 juga berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah menarik antaranya rumah teres setingkat di Setia Fontaines; BYD Atto 3 Standard Range; Toyota Vios 1.5G AT; Perodua Axia 1.0L AV; Yamaha MT25 dan Apple iPhone 14 Pro Max.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI