Poh Yu Tian sambar emas pertama catur Sukma ke-21

img 20240821 191155 243

KOTA SAMARAHAN – Pemain catur muda Pulau Pinang, Poh Yu Tian berjaya menyambar pingat emas pada penampilan pertamanya di Sukan Malaysia (Sukma) ke-21 di Sarawak.

Yu Tian, 15, mempamerkan persembahan cemerlang dalam acara Rapid Individu Lelaki sekali gus menggondol pingat emas permata yang ditawarkan menerusi catur yang berlangsung dekat Dewan Jubli UiTM Kota Samarahan, di sini hari ini.

img 20240821 191159 712

img 20240821 191203 306

img 20240821 wa0036

Bercakap kepada Buletin Mutiara, Yu Tian memberitahu bahawa pingat emas yang diraihnya hari ini merupakan yang pertama kali dimenangi menerusi kejohanan pada peringkat kebangsaan.

“Hari ini merupakan hari yang sangat bermakna bagi saya dan saya berasa sangat gembira atas kemenangan ini.

“Selepas ini saya akan menyetai dua lagi acara iaitu Rapid Berpasukan dan Blitz Individu Lelaki.

“Oleh itu, saya perlu melakukan persiapan yang rapi dan tidak mahu terlalu berasa tertekan untuk menghadapi kedua-dua perlawanan tersebut,” katanya yang merupakan pelajar Tenby International School.

Yu Tian sebelum ini pernah dianugerahkan gelaran International Master (IM) selepas memperoleh rating 2,429 dalam Kejohanan Catur Remaja Asia Timur (EAYCC) Ke-8 di Pulau Pinang.

Kejayaan itu menjadikan Yu Tian sebagai pemain termuda dan ke-10 di Malaysia yang mendapat gelaran IM, sekali gus membolehkan dia menjadi penerima pertama trofi Piala PMX yang dianjurkan pada Julai lalu.

Sementara itu, Sim Jia Ru pula memenangi pingat gangsa bagi kategori Rapid Individu Wanita.

 

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI