GEORGE TOWN – Perayaan Pesta Ponggal yang jatuh pada bulan ‘Thai’ kalendar Tamil baru-baru ini disambut meriah masyarakat berketurunan India di Kompleks Bangunan Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang (PHEB) di sini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, tahun ini (2014) dianggap bertuah apabila Kerajaan Negeri dapat meraikan Pesta Ponggal yang lebih meriah seiring dengan berlangsungnya Majlis Perasmian Bangunan PHEB.
“Saya gembira kerana ini adalah tahun kedua berturut-turut perayaan Ponggal dapat disambut di sini.
“Malah, sambutan tahun ini adalah lebih besar serta meriah berbanding tahun lalu dengan pelbagai persembahan muzikal dan pentas.
“Pepatah ‘Thai Poranthal Valli Porakum’ iaitu bila lahirnya bulan ‘Thai’, peluang untuk kemajuan tetap akan wujud dan sentiasa di laung-laungkan,” ujarnya yang turut diberi kehormatan menandatangani plag perasmian bangunan berkenaan baru-baru ini di sini.
Hadir menemani Guan Eng, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, A. Thanasekharan, T. Jayabalan (Batu Uban), R.S.N. Rayer (Seri Delima) dan R. P. Kasthuri (Ahli Parlimen Batu Kawan).
‘Ponggal’ yang bermaksud melimpah ruah secara tradisinya dirayakan ketika musim menuai bertujuan melahirkan rasa berterima kasih kepada Dewa Matahari dan ternakan ladang yang membantu menghasilkan kekayaan harta benda.
Malah, Ponggal merupakan sebahagian perayaan tradisional kaum India yang disambut meriah selepas perayaan Deepavali dan Thaipusam.
Bersempena majlis tersebut, Guan Eng diberi penghormatan menuang susu ke dalam periuk ‘ponggal’ sebagai tanda bermulanya perayaan tersebut yang diraikan selama tiga hari berturut-turut.
Dalam pada itu, Ramasamy melahirkan rasa terima kasih kepada Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang kerana memberikan lokasi bagi mendirikan bangunan Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang.