Popular Komtar tinggalkan kenangan manis buat penduduk Pulau Pinang – Kon Yeow

GEORGE TOWN – Kedai buku Popular khususnya cawangan Komtar pasti meninggalkan kenangan manis bukan sahaja buat diri saya, malah juga bagi kebanyakan rakyat di negeri Pulau Pinang.

Itu kata-kata Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow ketika ditanya mengenai memori istimewa beliau bersama kedai buku Popular sepanjang ia beroperasi dekat Komtar sejak 30 tahun lalu.

“Popular menjadi tempat di mana ibu bapa dan pelajar berkumpul untuk memenuhi keperluan masing-masing dan meninggalkan satu kenangan yang manis.

Ketua Menteri meluangkan masa berkunjung ke Popular Komtar sebentar tadi.

“Saya percaya kebanyakan penduduk di Pulau Pinang terutamanya di bahagian pulau pernah berkunjung ke kedai buku Popular di Komtar yang merupakan premis buku paling bersejarah bagi kumpulan (rangkaian syarikat) Popular,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kali terakhir ke kedai buku Popular dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Turut serta Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar merangkap Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng dan Pengarah Komunikasi merangkap Setiausaha Akhbar Ketua Menteri, Yap Lee Ying.

Berkongsi pengalaman, Kon Yeow memberitahu bahawa sejak awal berkecimpung dalam dunia politik, Popular Komtar merupakan tempat yang sering dikunjungi beliau sama ada untuk mendapatkan bahan bacaan atau berkempen untuk parti politik dianggotainya.

“Pada zaman itu, saya baru berkecimpung dalam dunia politik, dan Popular Komtar menjadi lokasi yang selalu saya kunjungi untuk mengedarkan risalah kempen ketika itu.

“(Dan) seperti kebanyakan penduduk Pulau Pinang yang lain, saya juga sering datang ke Popular Komtar untuk membeli buku, alat tulis serta kelengkapan lain.

“Cara saya membeli-belah agak berbeza kerana sebelum masuk saya sudah tahu apa yang hendak dibeli. Jadi saya akan masuk…beli dan terus keluar.

“Keadaan agak berbeza sekiranya saya datang bersama isteri…terpaksa iringi jugalah,” ujar beliau dalam nada mesra.

Difahamkan, rangkaian kedai buku ternama tempatan itu bakal menutup cawangannya di Komtar pada penghujung bulan ini, selepas beroperasi selama 30 tahun.

Popular Komtar mengadakan jualan harga istimewa sempena penutupan cawangannya di Komtar pada 28 November ini.

Popular Komtar merupakan cawangan pertama syarikat milik Popular Holdings di Pulau Pinang yang dibuka pada tahun 1991, dan ia juga merupakan cawangan pertama Popular di luar Kuala Lumpur.

Popular pernah beralih keluar dari Komtar pada 2004 selepas beroperasi selama 13 tahun tetapi berpindah semula ke bangunan itu pada tahun 2010.

Mengulas perkara itu, Kon Yeow menyeru semua pihak agar menghormati keputusan yang dibuat oleh pihak pengurusan Popular untuk menutup cawangannya di Komtar atas beberapa faktor.

“Agak sayang bahawa cawangan ini (Komtar) akan ditutup, namun kita hormati keputusan yang diambil oleh pihak pengurusan.

“Kita juga menghargai usaha dan sikap bertanggungjawab pihak pengurusan untuk menempatkan semula kakitangan ke cawangan-cawangan lain sekali gus dapat memastikan sumber pendapatan mereka tidak terjejas.

“Saya percaya rakyat negeri ini akan terus memberi sokongan kepada Popular dalam tempoh ini, dan menghargai peranan yang dimainkan Popular sepanjang 30 tahun di sini,” jelasnya.

Teh Ai Ling.

Sementara itu, Pengurus Cawangan, Teh Ai Ling menzahirkan ucapan penghargaan buat seluruh rakyat di negeri ini yang telah memberikan sokongan kepada Popular sejak 30 tahun lalu.

“Terima kasih kepada pelanggan serta rakyat Pulau Pinang kerana sentiasa menyokong Popular terutamanya di Komtar…tanpa sokongan anda, kami tidak akan berada di sini,” ulasnya.

Beliau berkata, Popular Komtar ketika ini mempunyai seramai 15 kakitangan yang akan ditempatkan di beberapa cawangan lain di negeri ini selepas ia ditutup kelak.

“Ada juga yang pilih untuk bersara…dan bagi yang mahu meneruskan perkhidmatan, kita akan tempatkan mereka di lima cawangan Popular di negeri ini,” ujarnya.

Selain Komtar, terdapat lima lagi cawangan Popular di Pulau Pinang iaitu di Aeon Mall Bukit Mertajam, Sunway Carnival Mall, Lotus’s Penang, Gurney Plaza dan Queensbay Mall.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : CHAN KOK KUAN