Popularkan sukan kayak melalui platform Sukan Untuk Semua, cadang Exco

Admin

 

 

TANJUNG BUNGA – Persatuan Kenu Negeri Pulau Pinang perlu memanfaatkan program Sukan Untuk Semua sebagai platform untuk mempopularkan sukan kayak.

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata, ia adalah sebahagian daripada inisiatif untuk mempromosikan sukan kayak kepada masyarakat di samping menarik minat lebih ramai golongan muda.

“Sejak dua tahun lepas Kerajaan Negeri telah memperkenalkan program Sukan Untuk Semua bagi mempromosikan sukan-sukan yang kurang popular.

“Justeru, melalui program ini diharap dapat dapat mengetengahkan bakat-bakat yang ada di negeri khususnya dalam sukan kenu untuk mewakili negeri seterusnya ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penang Open Kayak Festival 2020 di Pusat Kegiatan Sukan Air Tanjung Bunga semalam.

Hadir sama, Pegawai Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) Harry Chai dan Presiden Persatuan Kenu Malaysia (MASCA) Datuk Seri Megat D Shahriman.

Mengulas lanjut, Lip Chee berharap agar Kerajaan Negeri masih dibenarkan masuk ke sekolah-sekolah kerajaan dalam usaha mecari bakat-bakat baharu dalam pelbagai bidang sukan.

“Walaupun kerajaan (Persekutuan) sudah bertukar, saya berharap agar Kementerian Pendidikan Malaysia benarkan kita masuk ke sekolah-sekolah untuk mencari bakat baharu.

“Jika tidak, ia mungkin satu kerugian sekiranya ada pelajar yang berbakat atau berminat dengan sukan yang ingin diceburinya tetapi terhalang disebabkan perkara ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal.

Difahamkan seramai 200 orang peserta termasuk dari Kedah, Perak, Perlis, Kuala Lumpur, Selangor dan Labuan hadir mengambil bahagian.

Tidak ketinggalan penyertaan peserta luar negara dari Indonesia dan Singapura.

Antara kategori dipertandingakan adalah termasuklah acara pecut 200meter (m) lelaki dan wanita; marathon lelaki dan wanita; relay lelaki, wanita dan campuran serta slalom.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD