BAGAN DALAM – Tiada keperluan untuk merombak portfolio bagi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di Pulau Pinang.
Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa sejak tahun 2008 telah wujud dua portfolio berkaitan khusus iaitu hal ehwal Islam, di samping hal ehwal bukan Islam.
Beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi memberi respons itu ketika diminta mengulas mengenai pendirian terbaru Putrajaya iaitu tiada keperluan bagi Kerajaan Persekutuan untuk mewujudkan jawatan menteri atau kementerian khusus berkaitan masyarakat bukan Islam.
“Memang sudah ada Exco yang menjaga agama Islam (di bawah) Timbalan Ketua Menteri I; (portfolio) Exco Hal Ehwal Bukan Islam yang menjaga agama bukan Islam.
“Jadi, tiada rombakan (portfolio Exco Kerajaan Negeri),” responsnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan kepada pemberita, seusai merasmikan Projek Gelanggang Serba Guna (Hardcourt) Lebuh Kampung Benggali di sini pada 15 Februari 2025.
Jelas Kon Yeow lagi, ketika ini, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) telah dilantik sebagai Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat.
Sementara itu, beliau menjelaskan bahawa Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam pula disandang oleh ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim
Terdahulu, Ahli Parlimen Raub, Pahang, Chow Yu Hui di Dewan Rakyat mencadangkan pentadbiran Perdana Menteri, Y.A.B. Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim mewujudkan jawatan menteri atau kementerian khusus berkaitan masyarakat bukan Islam sehingga ia mencetus polemik baik peringkat nasional mahupun beberapa negeri yang mempunyai portfolio berkaitan.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS