Pos Malaysia buka Pos Shop ke-50, tawar transformasi perkhidmatan seiring Visi Penang2030

86d788ec 998e 4b17 a20b f05b73291774

DATUK KERAMAT – Penyedia perkhidmatan pos nasional, Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) hari ini membuka cawangan Pos Shop ke-50 yang terletak di Jalan Datuk Keramat dekat sini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, langkah Pos Malaysia membuka Pos Shop mencerminkan tekad ke arah transformasi perkhidmatan untuk memenuhi keperluan pelanggan dalam era digitalisasi kini.

“Selama bertahun-tahun Pos Malaysia telah memainkan peranannya dalam pembangunan Pulau Pinang termasuk menghubungkan komuniti dan membantu komuniti peniaga.

“Walaupun dalam era digitalisasi kini, perkhidmatan pos masih digunakan untuk menghantar surat dan dokumen kerana ia boleh dipercayai dan selamat.

“(Sejajar) dengan keperluan untuk memenuhi keperluan rakyat, saya percaya Pos Malaysia telah melakukan transformasi termasuk membuka Pos Shop dan ini menunjukkan usaha yang tidak pernah berhenti dalam menyediakan perkhidmatan lebih moden dan relevan dengan kehendak pelanggan masa kini.

“Pembukaan Pos Shop ini bukan sahaja memudahkan urusan rakyat malahan menyokong perniagaan tempatan sekali gus menyatukan keperluan tradisional dan digital,” ujarnya ketika hadir merasmikan pembukaan kedai serbaneka itu di sini petang tadi.

e1f60da7 9e6d 4802 8f93 ebe74992fbdd

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewer.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memaklumkan bahawa Pos Malaysia mempunyai sejarah yang boleh dijejaki kembali pada abad ke-19.

“Sejarah Pos Malaysia begitu dekat dengan Pulau Pinang yang mana pejabat pos pertama di Malaysia ditubuhkan di Bukit Bendera masih wujud sehingga ke hari ini dan menjadi satu legasi warisan yang amat penting.

“Sebenarnya banyak lagi perkhidmatan-perkhidmatan awam lain yang dimulakan di Pulau Pinang seperti balai polis dan balai bomba tertua yang kini menjadi legasi warisan penting di negeri Pulau Pinang,” jelasnya.

Pada majlis sama, Kon Yeow turut memuji inisiatif Pos Malaysia menggunakan kenderaan elektrik (EV) sebagai mod pengangkutan baharu.

“Saya difahamkan bahawa Pos Malaysia kini memiliki 50 motosikal dan 18 van elektrik di Pulau Pinang yang mana menjelang tahun 2030 nanti, mereka menyasarkan 100 peratus penggunaan kenderaan elektrik dalam perkhidmatan.

“Usaha ini adalah seiring dengan langkah Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan membantu merealisasikan Visi Penang2030 iaitu menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri pintar dan hijau,” katanya.

Sementara itu, Charles memberitahu bahawa Pos Shop di Datuk Keramat merupakan yang kelima di Pulau Pinang.

“Kami (Pos Malaysia) juga merancang untuk membuka sebuah lagi Pos Shop baharu di Pulau Pinang iaitu di kawasan Komtar.

“Seperti cawangan lain, Pos Shop menggabungkan pejabat pos yang berfungsi sepenuhnya dengan ruang runcit yang mesra pelanggan.

“Ini adalah komitmen kami untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih dekat kepada rakyat Pulau Pinang,” katanya.

Pos Shop di Datuk Keramat menawarkan kemudahan seperti pengeposan bungkusan, pembayaran bil, tambah nilai telefon bimbit serta ruang runcit yang menampilkan Pos Kafe berkonsepkan moden.

Sempena pembukaan Pos Shop, pihak Pos Malaysia membuka peluang ekonomi kepada 80 usahawan kecil dan sederhana tempatan untuk memasarkan produk di kedai tersebut.

Pos Shop di Datuk Keramat beroperasi setiap hari dari jam 8:30 pagi hingga 5:30 petang.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING

Video : SITI NURATIKAH RAHMAT