GEORGE TOWN – Dengan tema “Terus Memimpin Pulau Pinang”, jentera Perpaduan Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Kota akan turut menghantar risalah kempen berkaitan secara pos kepada pengundi berdaftar sebelum Hari Pembuangan Calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang pada 12 Ogos 2023.
Calon Perpaduan Padang Kota, Chow Kon Yeow pagi tadi berkata demikian di Gerai Roti Bakar Hutton Lane dekat sini pada 2 Julai 2023, sebelum memulakan jerayawara sekitar KADUN berkenaan.
Menurut Kon Yeow, sejak pemansuhan Akta Kawalan Sewa pada awal tahun 1990-an, ramai penduduk asal George Town termasuk sekitar Padang Kota telah berhijrah keluar tetapi masih menjadi pengundi berdaftar di bandar raya ini.
“(Terus Memimpin Pulau Pinang) ini akan menjadi tema kempen bagi saya di Padang Kota dan sebenarnya di seluruh negeri pun… dari rumah ke rumah.
“(Selain jerayawara dari rumah ke rumah,) untuk menyampaikan mesej kepada mereka yang berhijrah keluar dari KADUN Padang Kota, tetapi masih kekal sebagai pengundi, kita (jentera Perpaduan) perlu menggunakan perkhidmatan pos untuk menghantar risalah (kempen) kepada mereka.
“Saya berharap pengundi Padang Kota terus memberi peluang kepada saya (seterusnya) diberi mandat untuk membentuk Kerajaan Negeri yang baharu sekiranya mendapat kemenangan (PRN nanti),” jelasnya yang Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang kepada pemberita di sini pada 2 Ogos 2023.
Di samping itu, Kon Yeow turut menzahirkan penghargaan atas sokongan pemimpin Barisan Nasional (BN) negeri yang bersetuju bahawa cadangan PH supaya beliau kekal sebagai calon Ketua Menteri untuk penggal PRN akan datang.
Menjawab soalan pemberita, Kon Yeow menyatakan bahawa beliau sebagai ‘Caretaker’ Ketua Menteri turut mengambil maklum cadangan 12 Ogos ini sebagai cuti umum peringkat negeri untuk dipertimbangkan kelak.
“Pertimbangan saya adalah untuk mereka yang menjalankan perniagaan, saya akan beri keterangan nanti,’’ ujarnya.