P&P, Kumpulan Pelaksana I MBSP berjaya capai matlamat Dasar Keterangkuman Gender

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) berjaya mencapai matlamat Dasar Keterangkuman Gender di peringkat Pengurusan dan Profesional (P&P) termasuk Kumpulan Pelaksana I.

Datuk Bandarnya, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, kejayaan itu dicapai selepas MBSP menubuhkan Unit Keterangkuman Gender untuk memastikan keseimbangan kakitangan mengikut nisbah iaitu 40 peratus lelaki, 40 peratus wanita dan 20 peratus terbuka kepada lelaki dan wanita.

Sr. Rozali Mohamud diiringi Ir. Rosnani Mahmod menyampaikan anugera kepada salah seorang penerima pada Majlis Jasamu Dikenang dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MBSP, di sini semalam.

“Di peringkat P&P, bilangan pegawai wanita adalah seramai 26 orang (40 peratus) dan pegawai lelaki 26 orang (40 peratus) manakala peringkat Kumpulan Pelaksana I pula bilangan wanita adalah 396 orang (40 peratus) dan pegawai lelaki 396 orang (40 peratus).

“Walau bagaimanapun, di peringkat Kumpulan Pelaksana II memperlihatkan bilangan kakitangan wanita hanya 69 orang (dua peratus) berbanding lelaki seramai 2,855 orang atau 98 peratus.

“Perbezaan ini disebabkan kebanyakan kakitangan bagi Kumpulan Pelaksanan II adalah terdiri daripada buruh lelaki yang bekerja di lapangan,” katanya semasa berucap pada Majlis Jasamu Dikenang Tahun 2020 dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2019, di sini semalam.

Turut hadir, Ahli-Ahli Majlis bagi MBSP; Setiausaha Bandaraya, Ir. Rosnani Mahmod; Ketua-Ketua Jabatan serta pegawai-pegawai MBSP.

Pada majlis tersebut, seramai 293 kakitangan MBSP menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun 2019 iaitu meningkat sebanyak 26 peratus berbanding hanya 232 pada tahun sebelumnya.

Difahamkan, daripada jumlah tersebut seramai 21 kakitangan adalah daripada kumpulan P&P, Kumpulan Sokongan I (168) dan Kumpulan Sokongan II (104).

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Rozali menjelaskan bahawa peningkatan bilangan penerima APC pada tahun 2019 adalah ekoran kejayaan Seberang Perai yang telah dinaik taraf kepada bandar raya.

Antara pasukan ‘Wira Oren’ yang turut menerima APC pada tahun ini.

“Kakitangan merupakan aset penting yang sentiasa diberi perhatian oleh pihak pengurusan kerana tanpa sokongan mereka, MBSP tidak dapat menempa nama dan terus gemilang menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) cemerlang.

“MBSP berasa bangga kerana mempunyai Ahli-Ahli Majlis, Setiausaha Bandaraya, Ketua-Ketua Jabatan, warga kerja, ‘Wira Oren’ dan komuniti yang inklusif, responsif serta kreatif sehingga berjaya merangkul pelbagai anugerah.

“Saya menghargai usaha-usaha ditunjukkan oleh semua kakitangan MBSP tidak kira peringkat jawatan dalam memastikan visi dan misi MBSP dapat dicapai khususnya dalam membuat pengubahsuaian dan penambahbaikan sistem atau cara kerja supaya lebih efektif dan efisien,” ujarnya.

Tambahnya lagi, MBSP turut menitikberatkan aspek integriti serta disiplin dalam kalangan kakitangan tanpa mengira kumpulan sama ada di peringkat pengurusan tertinggi atau kumpulan sokongan.

“MBSP sememangnya komited dalam usaha membanteras rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan, tatatertib dan pecah amanah dalam kalangan kakitangan.

“Justeru, pada tahun lepas MBSP telah mengambil dua tindakan buang kerja atas kesalahan pemilikan dadah dan juga ketidakhadiran yang mana ia diharap dapat dijadikan iktibar kepada kakitangan yang masih bermasalah,” tegasnya lagi.

Dalam pada itu, Buletin Mutiara berkesempatan menemu bual kakitangan MBSP yang berjaya menerima anugerah berkenaan.

Marina Zainul Abidin.

MARINA ZAINUL ABIDIN, pembantu tadbir dari Jabatan Kemasyarakatan MBSP menzahirkan rasa bertuah apabila terpilih sebagai salah seorang penerima APC terutamanya selepas Seberang Perai dinaik taraf kepada bandar raya baru-baru ini.

“Kejayaan ini adalah kejayaan bersama dan bukannya saya seorang. Mungkin kali ini rezeki menyebelahi saya.

“Oleh itu, di kesempatan ini saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengarah saya, Norhayati Sulaiman (Pengarah Kemasyarakatan), pegawai penilaian dan semua kawan-kawan di Jabatan Kemasyarakatan,” ujarnya yang menerima APC buat kali ketiga pada tahun ini.

Norsuhaibah Hanbal.

Bagi NORSUHAIBAH HANBAL, Penolong Pegawai Tadbir dari Unit Butterworth Baru MBSP menyifatkan kejayaan tersebut sebagai pembakar semangat untuk beliau bekerja dengan lebih gigih selain dapat menepis persepsi negatif oleh pihak-pihak luar.

Katanya, ini merupakan kali pertama beliau menerima APC setelah berkhidmat selama 13 tahun sejak 2007 di MBSP.

“Saya tidak sangka turut terpilih menerima APC pada tahun ini kerana saya diberitahu mengenai perkara ini pada saat-saat akhir.

“Perasaan memang terkejut dan bersyukur…saya tidak pernah terfikir akan dipilih sebagai penerima APC kerana selama ini saya hanya jalankan tugas seperti yang diamanahkan.

“Walau bagaimanapun, saya berasa amat bersyukur dan berterima kasih kepada rakan-rakan di bahagian pengurusan MBSP,” zahirnya.

Hana Dayanti Zalili Husin.

Sementara itu, HANA DAYATI ZALILI HUSIN, Pembantu Tadbir Kanan di Jabatan Khidmat Pengurusan MBSP pula meluahkan rasa syukur kerana diberikan kepercayaan untuk menerima APC buat kali pertama pada tahun ini.

“Terima kasih diucapkan kepada pihak atasan (MBSP) di atas penganugerahan ini yang mana ia dapat membuatkan saya lebih bersemangat lagi untuk memberikan komitmen serta perkhidmatan terbaik untuk MBSP,” katanya yang telah bertugas selama tujuh tahun di bahagian kaunter berpusat.

  1. K. Sinnappen.

    SINNAPPEN, Pembantu Tadbir di Bahagian Pengurusan MBSP menyifatkan anugerah tersebut sebagai satu penghargaan kepada beliau setelah berkhidmat lebih 40 tahun.

“Ini merupakan ketiga saya terima APC. Justeru, saya ucapkan terima kasih kepada MBSP kerana menjadikan saya seorang pekerja yang berdikari serta berdedikasi,” ujarnya yang akan bersara wajib pada tahun ini.

Difahamkan, setiap penerima APC 2019 menerima sijil, hadiah prestasi sebanyak RM1,000, peluang dan keutamaan memajukan kerjaya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : MBSP