PP mesra ibu menyusu

Admin

 

BETTY Chew (tiga dari kanan) membelai seorang bayi pada Majlis Sambutan Minggu Penyusuan Bayi Sedunia 2011 Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini baru-baru ini.
BETTY Chew (tiga dari kanan) membelai seorang bayi pada Majlis Sambutan Minggu Penyusuan Bayi Sedunia 2011 Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

TANJUNG BUNGAH – Premis bangunan kerajaan, tempat-tempat awam, pusat membeli belah dan hospital disaran mewujudkan sebuah pusat khas penyusuan susu ibu atau ‘breastfeeding center’ dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri mesra berhubung inisiatif berkenaan.

Menyahut seruan tersebut, sebuah pusat penyusuan susu ibu (bilik laktasi) yang mana bakal memberi kemudahan kepada para penjawat awam mengepam susu akan disediakan di bangunan Komtar dalam tempoh terdekat.

Presiden Pertubuhan Wanita Mutiara Pulau Pinang, Betty Chew Gek Chang berkata, bapa juga boleh memainkan peranan dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri mesra penyusuan susu ibu dengan memberi galakan berterusan kepada isteri-isteri mereka.

Sebagai seorang ibu yang bekerja sepenuh masa, saya bersyukur kerana mampu memberikan yang terbaik kepada empat anak saya. Saya berasa seperti seorang wanita moden sempurna,” katanya pada Majlis Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2011 Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Sementelahan dalam program tersebut juga pelbagai aktiviti turut dijalankan antaranya penyususan beramai-ramai oleh pasangan ibu dan bayi selama 1 minit, kuiz penyusuan susu ibu, pertandingan bayi cergas dan cerdas, pertandingan bapa dan anak serta pelbagai lagi aktiviti interaktif yang bertujuan merapatkan hubungan kekeluargaan antara ibu, bapa dan bayi.

Program yang turut dihadiri pengasas “World Alliance for Breastfeeding Action” (WABA), Dr. Anwar Faisal Sebastian turut membabitkan penglibatan 280 hospital di Malaysia dan 484 ibu telah mengambil bahagian dalam penyusuan beramai-ramai selama 1 minit yang bermula tepat jam 4.00 petang.

Bertemakan “Talk to Me! Breastfeeding – a 3D Experience”, sambutan minggu penyusuan susu ibu sedunia disambut pada minggu pertama bulan Ogos setiap tahun. Tujuan Minggu Penyusuan Susu Ibu adalah untuk memaklumkan kepada orang awam di serata tempat bahawa perlindungan, promosi dan sokongan penyusuan susu ibu adalah hak ibu, hak bayi dan hak asasi manusia yang perlu didokong. Malah program tersebut juga memberi penekanan tentang pentingnya susu ibu kepada bayi kerana susu ibu merupakan pemakanan asas bagi bayi dan pemakanan yang paling opitimum bagi bayi.