PPP pantau harga elak pengguna ditipu

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

ABDUL Malik Abul Kassim (dua dari kanan) bertanyakan sesuatu kepada peniaga runcit di Pasar Awam Bagan Ajam sambil ditemani oleh Salehin Mohamed (kanan sekali).
ABDUL Malik Abul Kassim (dua dari kanan) bertanyakan sesuatu kepada peniaga runcit di Pasar Awam Bagan Ajam sambil ditemani oleh Salehin Mohamed (kanan sekali).

BAGAN AJAM – Sempena sambutan Tahun Baru Cina 2012, Pasukan Pemantau Pengguna (PPP) Negeri Pulau Pinang bersama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Abul Kassim telah mengadakan lawatan ke Pasar Awam Bagan Ajam di sini baru-baru ini.

Lawatan PPP bukan sahaja diadakan bagi memantau harga barangan asas seperti ayam, daging, sayur-sayuran dan ikan, malah, juga untuk memastikan peniaga-peniaga tidak menaikkan harga barang sesuka hati.

Selain itu, lawatan tersebut juga bertujuan untuk memastikan para peniaga meletakkan tanda harga bagi setiap barangan yang dijual sebagai panduan kepada pembeli.

“Kita tidak mahu nanti timbul rungutan daripada pembeli bahawa harga barang naik ketika musim perayaan,” ujar Abdul Malik yang turut mengadakan lawatan pemantauan pengguna di beberapa pasar awam di negeri ini.

Malah, ketika lawatan beliau ke Pasar Awam Bagan Ajam, beliau berpuas hati kerana para peniaga patuh akan arahan yang dikeluarkan.

Menurut Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Telok Air Tawar, Salehin Mohamed,
lawatan PPP ke kawasan tersebut bukan sahaja mampu memantau kenaikan harga barangan ketika tiba musim perayaan, malah, turut memberi peluang kepada para peniaga untuk menyuarakan masalah yang dihadapi mereka.

Lawatan oleh 16 orang ahli PPP turut disertai oleh Penolong Pengarah Perbandaran Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Mohd. Puad Hamid; Penolong Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Pulau Pinang, R. Devedran; Penolong Pengarah Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Shahril Zamani Md. Zain; Ketua Pemantau Pengguna Penaga, Abdullah Talib; Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Bagan Ajam, Ismail Jemani dan beberapa ahli JKKK Telok Air Tawar.