GEORGE TOWN – Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jelutong dijadikan sebagai projek rintis bagi Skim Perumahan Sewa Khas (SPSK) kepada golongan belia atau bujang di negeri ini.
Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo berkata SPSK merupakan skim perumahan yang diwujudkan selaras dengan Manifesto Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang yang dilancarkan pada Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN-15) yang lalu.
“PPR Jelutong yang akan dibangunkan di atas Petak B, Seksyen 1, Bandar Jelutong dalam Daerah Timur Laut merupakan projek rintis SPSK kepada golongan belia atau bujang.
“SPSK masih pada peringkat kerja awalan dan dijangka akan memanfaatkan sebilangan besar golongan belia atau bujang di negeri ini sebaik sahaja skim ini dilancarkan kelak,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUAN) Kebun Bunga, Lee Boon Heng dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 di sini sebentar tadi.
Sundarajoo yang juga ADUN Perai berkata, pada masa ini, pelaksanaan projek tersebut masih pada peringkat penyelarasan peruntukan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Ekonomi (KE).
“Proses perolehan bagi pelantikan kontraktor akan dilaksanakan sejurus kelulusan peruntukan diperoleh kelak,” jelasnya.
Sundarajoo berkata, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) telah mengemukakan permohonan kepada KPKT supaya 250 unit daripada 500 unit PPR Jelutong berkeluasan 650 kaki persegi disediakan bagi golongan yang berkeluarga.
“Manakala 250 unit lagi yang berkeluasan 450 kaki persegi adalah untuk golongan belia atau bujang.
“Selain itu, LPNPP juga sedang meneliti dan mengkaji cadangan untuk menjadikan unit-unit perumahan mampu milik yang masih belum dapat dijual sebagai unit transit terutamanya bagi golongan belia dan bujang yang akan ditawarkan secara sewaan khas,” katanya.