Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : PPSN
MENAWARKAN suasana yang selesa dan lengkap dengan kemudahan wifi, Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) membolehkan penduduk setempat mengadakan sesi perbincangan dan pertemuan dengan masyarakat tempatan dalam persekitaran yang lebih kondusif.
Dua pusat PPSN yang kini masingmasingnya beroperasi di Permatang Damar Laut dan Gertak Sanggul adalah hasil kerjasama antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan SRS Consortium iaitu rakan pelaksana untuk Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR).
Sebagai sebuah pusat sehenti atau ‘one-stop centre’ untuk penduduk tempatan, PPSN merupakan pusat informasi untuk Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) yang bukan sahaja memberi maklum balas, malah turut menyediakan perkhidmatan untuk masyarakat di sini membuat pendaftaran dan permohonan pekerjaan dengan tujuan menambah pendapatan untuk taraf kehidupan yang lebih baik kelak.
Dalam usaha memberi maklumat terkini kepada para nelayan dan penduduk terhadap projek tersebut, Pegawai Maklumat PPSN juga menganjurkan sesi-sesi perbincangan dan dialog bagi berkongsi maklumat terkini dan manfaat projek kepada golongan berkaitan.
Malah, PPSN turut menjalinkan kerjasama erat dengan penduduk setempat untuk menganjurkan aktiviti serta program-program komuniti.
Tingkat taraf hidup penduduk
PPSN secara umumnya berupaya menyelami masalah dan mengenal dengan lebih erat masyarakat setempat melalui program-program yang dijalankan secara penglibatan awam dari semasa ke semasa.
Sebagai contoh, menerusi Program Jejak Ramadan yang diadakan tahun lalu, 10 keluarga dikenal pasti, yang terdiri daripada ibu tunggal dan keluarga yang hidup dalam keadaan serba kekurangan.
Mereka telah menerima sumbangan bantuan berbentuk barangan makanan serta keperluan harian.
Dalam pada itu, matlamat PPSN juga adalah untuk berganding bahu dengan Kerajaan Negeri untuk mendengar pendapat penduduk setempat termasuk komuniti nelayan bagi memahami keadaan kehidupan dan cabaran yang dihadapi mereka.
Dengan pemahaman itu, sekaligus PPSN dapat menjalankan program yang bermanfaat kepada masyarakat setempat, khususnya aktiviti rekreasi, kemasyarakatan dan pemeliharaan alam sekitar bagi merealisasikan taraf kehidupan yang lebih baik kepada penduduk selatan pantai Pulau Pinang dalam masa akan datang.
Program pembangunan masyarakat
Tahun 2017 merupakan tahun yang sibuk buat PPSN, pelbagai aktiviti sukan dan rekreasi bersama-sama penduduk tempatan serta nelayan telah diadakan antaranya, kejohanan catur, pertandingan mewarna sempena sambutan Hari Malaysia dan kejohanan bola keranjang remaja.
Malah, sambutan perayaan Hari Raya Puasa, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas turut diadakan.
Ketika negeri dilanda bencana ribut dan banjir luar biasa pada 4 dan 5 November tahun lalu, PPSN menggembleng tenaga turun padang menjalankan program bantuan bencana dan kecemasan untuk mengedarkan barangan-barangan keperluan seperti tilam, bantal dan tikar getah, makanan, ubat-ubatan serta pakaian kepada keluargakeluarga terjejas.
Bagi tahun ini, PPSN bertekad akan meneruskan pelbagai aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, kitar semula dan pembersihan pantai untuk menggalakkan suasana hidup yang harmoni di selatan pantai Pulau Pinang.